Rabu, 13 September 2017 | 7:34pm
PRESIDEN PFAM, Hairuddin Omar (kiri) dan Izham Ismail mengesahkan pihaknya sudah menerima aduan rasmi berhubung isu tunggakan gaji daripada pemain Kuantan FA. - Foto Osman Adnan

PFAM terima aduan pemain Kuantan FA

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mengesahkan sudah menerima aduan rasmi berhubung isu tunggakan gaji daripada pemain Kuantan FA.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata aduan itu dilakukan oleh beberapa pemain Kuantan FA, hari ini.

Katanya, PFAM akan mengambil langkah seterusnya dengan menghantar surat kepada Kuantan FA bagi memohon penjelasan daripada pasukan Liga Perdana itu.

"(Sudah) ada, aduan (pemain Kuantan FA) baru sahaja dibuat hari ini. Saya tidak boleh sahkan berapa pemain dan berapa jumlah keseluruhan tunggakan kerana ada beberapa dokumen masih belum lengkap.

"Kami akan kemukakan surat rasmi kepada Kuantan FA dalam minggu ini sebelum kes berkenaan dibawa kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Akhbar ini melaporkan Kuantan FA bakal mencipta rekod sebagai pasukan pertama dalam Liga Malaysia (Liga M) selepas gagal melunaskan tunggakan pemain mereka yang sudah berlanjutan hampir 11 bulan.

Lebih menyedihkan apabila ada di antara pemain terpaksa melakukan kerja sambilan termasuk menjadi posmen dan membuka kedai mencuci kereta demi menyara hidup dan keluarga.

Malah, surat berkenaan luahan pemain skuad The Seagulls kepada Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dikatakan sudah tersebar di media sosial sejak, Isnin lalu.

Kuantan FA yang menyertai Liga Perdana sejak tahun 2015, bagaimanapun berjanji menyelesaikan segala bayaran kepada semua pemain.

401 dibaca
Berita Harian X