Rabu, 13 September 2017 | 8:51pm

Kuantan FA cari dana selesai isu gaji

KUANTAN: Persatuan Bola Sepak Daerah Kuantan (Kuantan FA) sedang berusaha menyelesaikan isu tunggakan gaji pemainnya yang dikatakan tertunggak sejak November lalu.

Sumber dalaman Kuantan FA yang enggan namanya didedahkan berkata, usaha mencari dana sedang dilakukan termasuk membuat pinjaman kewangan.

Katanya, setakat ini sumber kewangan yang diusahakan belum diperoleh sekali gus menyukarkan pembayaran gaji pemain.

"Kami sudah sedaya upaya cuba menyelesaikan masalah (tunggakan gaji) ini dan tiada sebarang niat untuk melarikan diri daripada tanggungjawab kerana sedar ia adalah punca pendapatan pemain.

"Tapi Kuantan FA tidak dapat berbuat demikian (buat masa ini) kerana sumber kewangan itu belum lagi diperoleh dan kami akan sedaya upaya untuk memastikan ia dapat dilangsaikan segera.

"Apapun, tunggakan itu tidak dapat diselesaikan dalam masa terdekat. Namun, untuk bayaran dua bulan gaji yang tertunggak itu akan diusahakan sebelum akhir bulan ini," kata sumber itu.

Hari ini media melaporkan Kuantan FA yang dikenali sebagai The Seagulls gagal melunaskan gaji pemain mereka yang tertunggak hampir 11 bulan.

Kegagalan persatuan itu berbuat demikian mengakibatkan pemain terpaksa 'mengikat perut' dan melakukan kerja sambilan bagi menyara diri dan keluarga.

Malah, surat daripada pemain Kuantan FA kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah sudah tersebar di media sosial sejak Isnin lalu.

Antara yang dinyatakan dalam surat berkenaan termasuk pemain menyatakan mereka tiada wang untuk menyambut hari raya dengan keluarga dan tidak mampu mengisi petrol kereta untuk pergi berlatih bersama pasukan.

330 dibaca
Berita Harian X