Jumaat, 15 September 2017 | 11:44am
PENJAGA gol Liverpool, Loris Karius sedia buat yang terbaik dan harap dapat lebih banyak peluang. - Foto Reuters

Karius sedia saing Mignolet di gawang Liverpool

LIVERPOOL: Ketika pengurus pasukan, Jurgen Klopp menerapkan sistem penggiliran pemain, penjaga gol Liverpool, Loris Karius berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan Simon Mignolet.

Karius mengatasi Mignolet untuk berada dalam senarai utama ketika The Reds terikat 2-2 dengan Sevilla dalam saingan Liga Juara-Juara.

Keputusan Klopp menukar penjaga gol menimbulkan sedikit kontroversi, namun Karius menegaskan beliau sedia memanfaatkan peluang untuk menarik perhatian pengurus.

"Ia situasi yang menarik dengan adanya tiga penjaga gol yang hebat dan hanya mereka yang terbaik boleh bermain untuk kelab," kata Karius menjelang aksi Liga Perdana Inggeris menentang Burnley di Anfield malam esok waktu Malaysia.

"Kami akan buat yang terbaik dalam setiap latihan dan perlawanan. Saya gembira apabila diberi peluang bermain pada aksi menentang Sevilla. Saya harap saya akan dapat lebih banyak peluang. Saya akan cuba bersiap sedia apabila khidmat saya diperlukan."

"Apa pun, terserah kepada pengurus dan sebagai pemain kamu tidak boleh buat keputusan. Apa yang boleh kami lakukan adalah fokus pada kerja dan itu yang saya lakukan.

Liverpool kehilangan khidmat Sadio Mane yang digantung tiga perlawanan, namun Philippe Coutinho dijangka membuat penampilan pertama dalam aksi EPL.

Untuk aksi menentang Burnley, Klopp berkata pemainnya lebih tajam menyempurnakan setiap peluang terhidang dan tidak mahu situasi sama seperti aksi dengan Sevilla.

"Kami tahu yang kami perlu tingkatkan lagi permainan. Apa pun, ia bukannya 'penyakit' yang kamu boleh ubah. Kami akan bekerja seperti yang kami lakukan dalam hal lain," kata Klopp. - AFP

622 dibaca
Berita Harian X