Jumaat, 15 September 2017 | 10:15pm
PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp (kanan) dan Philippe Coutinho. - Foto REUTERS/Phil Noble

Klopp sedia senaraikan Coutinho temu Burnley

LONDON: Pemain tengah Liverpool, Philippe Coutinho sudah bersedia untuk memulakan aksi dalam kesebelasan pertama musim ini, ketika pasukannya menanti kunjungan Burnley, kata Juergen Klopp, sebentar tadi.

Selepas gagal melengkapkan perpindahan ke Barcelona pada jendela perpindahan lalu, pemain Brazil ini kembali disenaraikan dan dibawa masuk sebagai pemain gantian ketika Liverpool seri 2-2 menentang Sevilla dalam saingan Liga Juara-Juara, Rabu lalu.

"Anda boleh membina keyakinan dan boleh mendapatkan semula rentak apabila beraksi. Ini bukan bercakap soal senarai yang akan saya turunkan esok, tetapi dia sepatutnya sudah bersedia," kata Klopp ketika sidang media menjelang pertemuan dengan Burnley dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

"Saya sangat gembira apabila penyokong menerimanya. Baginya, sambutan itu memang baik. Sudah pasti kami bersedia memikirkan peranannya (menentang Burnley).

"Dia menjalani latihan dengan begitu baik sejak kembali. Perlawanan (Sevilla) tidak sempurna, tetapi ia membantu kami, begitu juga Coutinho.


PHILIPPE Coutinho (kiri) menjalani latihan bersama rakan senegara Roberto Firmino. - Foto EPA-EFE/Peter Powell

Ketika Sadio Mane disisihkan berikutan kad merah ketika menentang Manchester City, Klopp mungkin menurunkan Coutinho atau pemain yang baharu ditandatangani, Alex Oxlade-Chamberlain untuk mengisi posisi di sayap kiri.

"Memang sukar untuk menggantikan pemain utama tetapi kami melakukannya dengan baik pada akhir musim lalu (ketika Mane disisihkan)," kata Klopp.

"Kami tahu, akan ada masanya Sadio tidak boleh beraksi. Sebab itulah kami membina pasukan. Roberto (Firmino), Phil dan Alex boleh beraksi di kiri. Kami akan mengubah sistem. Kami mampu melakukan banyak perkara.

Klopp juga mengesahkan penyerang, Danny Ings sudah kembali menjalani latihan selepas pulih daripada kecederaan lutut, namun pemain tengah, Adam Lallana dan bek, Nathaniel Clyne masih kekal dalam senarai yang terpaksa diketepikan.

Sebagai rekod, Burnley pernah mengecewakan Chelsea dan Crystal Palace dalam empat aksi pertama mereka pada musim lalu. - Reuters

337 dibaca
Berita Harian X