Sabtu, 16 September 2017 | 11:37am
CALON presiden KAFA, Datuk Mohamad Nasir Hamzah (kiri) dan Bibi Ramjani Ilias Khan.

Reaksi berbeza pemilihan presiden KAFA esok

KOTA BHARU: Kelab penyokong dan peminat skuad The Red Warriors (TRW) memberikan reaksi berbeza berhubung dua calon yang bertanding merebut jawatan presiden Persatuan Bola Kelantan (KAFA) di sini, esok.

Naib Presiden KAFA, Datuk Mohamad Nasir Hamzah dan usahawan wanita, Bibi Ramjani Ilias Khan adalah dua calon bertanding jawatan berkenaan pada kongres persatuan terbabit.

Presiden Kelate.net, Mahizi Mahmood menyifatkan pencalonan dua individu berkenaan sebagai satu persaingan sihat dalam menentukan siapa yang berhak menerajui persatuan itu untuk melakukan transformasi bola sepak di negeri ini.

Katanya, calon presiden mesti ikhlas membantu KAFA tanpa sebarang agenda tersembunyi, selain bijak menangani isu tunggakan gaji yang membelenggu pegawai dan pemain.

"Jika kemelut ini (tunggakan gaji) diselesaikan secara bijaksana sudah tentu fokus mereka (pemain) kembali pulih dalam usaha mengembalikan semula keyakinan peminat untuk hadir memberikan sokongan di stadium.

"Piala bukan segala-galanya untuk peminat, namun berharap presiden baharu mampu mencetuskan reformasi dan menjalankan tugas penuh integriti untuk mengubah wajah TRW agar kembali menjadi pasukan digeruni," katanya ketika dihubungi BH Sukan hari ini.

Dalam pada itu, seorang peminat TRW, Zainal Hassan, 38, menyifatkan Mohamad Nasir calon paling layak mengetuai KAFA memandangkan beliau memiliki reputasi hebat dalam soal pengurusan bola sepak negeri ini.

"Ketokohan Muhamad Nasir dalam dunia korporat juga bakal memberikan kelebihan untuk memenangi kerusi presiden walaupun bakal dicabar Bibi Ramjani dalam pemilihan kongres itu nanti.

"Malah, saya yakin beliau (Nasir) mampu menyelesaikan kemelut kewangan KAFA yang kritikal dan merangka pembangunan bola sepak jajahan di peringkat akar umbi," katanya.

4710 dibaca
Berita Harian X