Isnin, 18 September 2017 | 1:26pm
USAHAWAN wanita, Bibi Ramjani Ilias Khan diumumkan sebagai Presiden baharu KAFA bagi penggal 2017-2021 pada Kongres Tahunan KAFA ke-63. - Foto Fathil Asri

Pemilihan Bibi teraju KAFA dapat sokongan

KOTA BHARU: Kelab penyokong dan bekas pemain skuad The Red Warriors (TRW) memberikan reaksi positif ke atas barisan kepemimpinan baharu Persatuan Bola Kelantan (KAFA).

Presiden Kelate.net, Mahizi Mahmood, menyifatkan pemilihan Bibi Ramjani Ilias Khan itu sebagai tanda yang ahli inginkan 'angin baharu' dalam pengurusan bola sepak di negeri ini.

Katanya, pemilihan barisan EXCO juga menyaksikan hampir keseluruhan muka yang membabitkan bekas pemain bola sepak, tokoh korporat, pentadbir dan ahli politik.

"Tahniah kepada semua calon terutama Bibi Ramjani yang berjaya mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama menjawat jawatan sebagai Presiden KAFA," katanya kepada BH Sukan, sebentar tadi.

"Saya yakin Bibi Ramjani mampu memulihkan kembali prestasi hambar TRW dan mengembalikan semula keyakinan peminat dengan menggunakan pengalaman luas beliau sebagai usahawan berjaya,".

Bibi Ramjani dipilih sebagai Presiden KAFA bagi penggal 2017-2021 pada Kongres Tahunan ke-63 di sini, semalam.

Pada pemilihan kepimpinan baharu itu, beliau memperoleh sebanyak 32 undi untuk menewaskan pencabarnya, Muhammad Nasir. Lawannya itu yang juga Naib Presiden KAFA memperoleh 16 undi dalam undian kali kedua.

Dalam pada itu, bekas pemain Kelantan dan kebangsaan, Yassin Mohd Noor, menyifatkan Bibi Ramjani adalah seorang yang berani memecah dominasi lelaki apabila menjadi wanita pertama mengetuai KAFA walaupun masih baharu dalam soal pengurusan bola sepak negeri ini.

"Saya berharap peminat tidak membuat andaian negatif dengan menganggap pelantikan seorang wanita bakal melemahkan pengurusan KAFA.

"Malah, saya yakin beliau (Bibi) mampu bekerjasama dengan EXCO yang rata-rata dibarisi bekas pemain negeri ini bagi mencari idea baharu untuk merangka pembangunan bola sepak jajahan," katanya.

2317 dibaca
Berita Harian X