Sabtu, 23 September 2017 | 7:37am
PENYERANG Bayern, Kingsley Coman (kanan) diasak pertahanan Wolfsburg, Paul Verhaegh pada aksi Bundesliga. - Foto AFP

Wolfsburg ikat Bayern kerana kesilapan Ulreich

BERLIN: Prestasi longlai penjaga gol, Sven Ulreich menutup peluang Bayern Munich untuk menghuni tangga teratas Bundesliga apabila sekadar seri 2-2 menentang Wolfsburg, awal pagi tadi.

Gol daripada Robert Lewandowski dan Arjen Robben memberikan Bayern kelebihan dua gol pada babak pertama, namun kesilapan Ulreich diikuti gol penyamaan lewat Daniel Didavi menyaksikan Wolfsburg berkongsi satu mata di Munich.

Sejak tewas mengejut kepada Hoffenheim, skuad Carlo Ancelotti meraih tiga kemenangan berturut-turut sebelum aksi melawan Wolfburg, tetapi prestasi hambar di awal musim kembali membayangi kempen gergasi Jerman itu.


PEMAIN Bayern, Jerome Boateng (dua dari kiri) dan Thomas Muller kecewa selepas mampu seri menentang Wolfsburg di laman sendiri. - Foto REUTERS

Lebih mengecewakan, ini kali pertama dalam tempoh enam tahun Bayern gagal meraih kemenangan sekali pun mendahului permainan 2-0.

Bagi bos baharu Wolfsburg, Martin Schmidt dia terus menjadikan Munich sebagai destinasinya untuk memburu mata selepas sering melakukannya ketika mengendalikan Mainz.

Ketika di Mainz, pengurus dari Switzerland itu berjaya mencatat satu kemenangan dan sekali seri dalam dua kunjungan ke Allianz Arena.


ROBERT Lewandowski menyempurnakan sepakan penalti untuk gol pertama Bayern. - Foto AFP

Begitupun, skuad bimbingannya dikejutkan dengan jaringan Lewandowski menerusi sepakan penalti pada minit ke-33 selepas penyerang Poland itu dikasari Marcel Tisserand.

Sepuluh minit kemudian, pemain Belanda, Robben menggandakan kelebihan selepas memperoleh peluang di kawasan penalti sebelum mudah memperdaya penjaga gol Wolfburg, Koen Casteels.

Robben mempunyai dua peluang untuk menambah jaringan pada awal babak kedua namun gagal disempurnakan sebelum kesilapan Ulreich membolehkan Wolfsburg bangkit menerusi jaringan Maximilian Arnold pada minit ke-56.

Dengan ketiadaan Manuel Neuer, Ulreich yang diberi kepercayaan gagal membaca dengan tepat sepakan percuma jarak jauh Maximilian yang menyaksikan bola terlepas daripada tangkapannya sebelum menerjah gawang.

Selepas Robben dan Franck Ribery terlepas peluang menambah jaringan, Bayern kemudian dihukum lagi, kali ini berpunca kesilapan bahagian pertahanan untuk Didavi meledak gol penyamaan pada minit ke-83. - AFP


Penjaga gol Bayern, Sven Ulreich (R) gagal menyelamatkan gawangnya dari dibolosi Wolfsburg pada aksi Bundesliga. - Foto AFP

838 dibaca
Berita Harian X