Rabu, 4 Oktober 2017 | 9:46pm
PRESIDEN KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan bersama pegawai dan pemain skuad The Young Warriors Piala Belia bawah 19 tahun di Pejabat KAFA. - Foto ihsan KAFA

KAFA cungkil bakat baharu untuk The Young Warriors

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bakal mencungkil bakat baharu di kalangan anak muda tempatan menerusi kejohanan bola sepak yang diadakan di 10 daerah di negeri ini, pada musim 2018.

Kejohanan yang dilakukan secara kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) itu bakal membuka lembaran baharu kepada pemain yang berbakat untuk diserapkan dalam pasukan utama Kelantan.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, kejohanan itu membuka peluang untuk anak muda yang berbakat untuk dinilai Exco KAFA.

"Ketika kejohanan itu berlangsung, KAFA akan meletakkan Exconya di setiap daerah untuk menilai mereka sebelum diserap dalam skuad The Young Warriors (TYW).

"Selain itu, kejohanan ini terbuka kepada semua tanpa mengira latar belakang asalkan mereka betul-betul berazam untuk bermain mewakili negeri. Jika mereka mempunyai bakat yang baik, mereka berpeluang bermain untuk negara," katanya.


PRESIDEN KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan bersama pegawai di Pejabat KAFA. - Foto ihsan KAFA

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan tunggakan gaji kepada skuad The Young Warriors (TYW) Piala Belia bawah 19 tahun di Pejabat KAFA, di sini, hari ini.

Gaji yang diserahkan itu sekaligus menyelesaikan kesemua tunggakan bayaran kepada pemain skuad dan pegawai di bawah kelolaan KAFA.

Mengulas lanjut mengenainya, Bibi Ramjani berkata sejumlah peruntukan sudah disediakan bagi memastikan kejohanan itu berjalan seperti dirancang.

"KAFA sudah menyediakan dana bagi tujuan itu dan akan memastikan apa yang dirancang berjalan dengan baik," katanya.

Bibi Ramjani turut berharap kejohanan yang diadakan itu dapat mengembangkan bakat muda dalam bola sepak sekaligus membawa masa depan yang baik kepada mereka yang sebelum ini tidak berpeluang.

"Kelantan sebenarnya mempunyai ramai pemain yang berbakat cuma mereka tidak mendapat pendedahan dan tidak tahu saluran untuk mereka menonjolkan apa yang mereka ada," katanya.

1168 dibaca
Berita Harian X