Jumaat, 13 Oktober 2017 | 7:37am
PEMAIN Manchester City, Yaya Toure berjanji untuk menyokong FIFA dan kerajaan Russia bagi menangani isu perkauman menjelang pusingan akhir tahun depan. - Foto AFP

Toure sedia perangi isu perkauman di Piala Dunia

PARIS: Bintang tengah Manchester City, Yaya Toure memberi amaran Piala Dunia di Russia tahun depan akan mengalami 'kekusutan yang teruk' jika ia dipalit masalah perkauman, tetapi berikrar untuk membantu menangani situasi berkenaan.

Pemain berusia 34 tahun ini pernah mengalami pengalaman berkenaan di Russia apabila menjadi sasaran ejekan ketika City beraksi menentang CSKA Moscow, dalam kempen Liga Juara-Juara pada 2013.

Begitupun, bekas pemain kebangsaan Ivory Coast itu berjanji untuk menyokong Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan kerajaan Russia bagi menangani isu itu menjelang pusingan akhir tahun depan.

"Jika situasi perkauman berlaku, ia akan menjadi masalah yang besar," kata Toure menerusi video yang dipaparkan dalam media sosial bagi menyokong kempen membasmi masalah perkauman dalam bola sepak.

"Kita perlu berharap dan menjadi positif mengenainya. Semua orang bercakap mengenai Russia dan mungkin ia menjadi lebih sukar sedikit.

"Tetapi saya berharap Russia akan mengejutkan semua pihak. Saya juga mahu menegaskan kepada FIFA dan kerajaan di Russia, jika mereka memerlukan (sokongan), saya boleh membantu.

"Saya tidak mahu terbabit dengan hanya bercakap. Saya mahu melihat tindakan untuk menjadikannya realistik. Perkara ini adalah amat penting bagi masa depan bola sepak."

Sementara itu, penyerang Brazil, Hulk berkata, pada Julai 2015 dia pernah diserang dengan pelbagai ejekan perkauman 'hampir setiap perlawanan' ketika bermain bersama kelab Zenit St Petersburg.

Penjaga gol Lokomotiv Moscow kelahiran Brazil, Guilherme yang dua kali bermain untuk Russia juga menjadi mangsa ejekan perkauman oleh penyokong Spartak Moscow pada Julai lalu, ketika saingan Piala Super Russia.

Begitupun Russia bertekad untuk memastikan keselamatan peminat apabila menganjurkan Piala Dunia 2018 dengan menangani kedua-dua masalah keganasan dan juga perkauman. - AFP

642 dibaca
Berita Harian X