Jumaat, 13 Oktober 2017 | 9:58am
JUERGEN Klopp (kiri) menikmati rekod baiknya menentang Mourinho di atas padang dan pertembungan di Anfield dijangka berlangsung panas.

Klopp harap mampu kekalkan rekod ke atas Mourinho

LONDON: Juergen Klopp boleh memanfaatkan apa yang segelintir pengurus lain tidak miliki apabila Liverpool bertemu Manchester United, esok iaitu rekod kemenangan lebih baik ke atas Jose Mourinho.

Selain Pep Guardiola yang menang lapan dan tewas empat pertemuannya dengan Mourinho ketika melatih Barcelona, Bayern Munich dan kini Manchester City, pengurus dari Portugal itu terbukti menjadi duri dalam daging bagi kebanyakan pencabarnya.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger memerlukan 13 tahun sebelum menikmati kemenangan pertamanya dalam kempen Liga Perdana Inggeris ke atas Mourinho iaitu pada cubaan ke-13.

Sejak mengendalikan Borussia Dortmund di Jerman, Klopp sudah tujuh kali bertemu Mourinho yang ketika itu membimbing Real Madrid.

Begitupun, hanya satu kekalahan dicatatkan tetapi ia turut menyakitkan Mourinho apabila Dortmund berjaya menyingkirkan Real daripada kempen Liga Juara-Juara di peringkat suku akhir dengan kekalahan 4-3 secara agregat.

Sepanjang itu, Klopp meraih tiga kemenangan selain dua keputusan seri dalam kempen Liga Perdana Inggeris musim lalu yang menjadi musim pertama Mourinho di Old Trafford bagi menggantikan Louis van Gaal.

Bos Liverpool itu jelas menikmati rekod baiknya menentang Mourinho di atas padang dan ketika kedua-duanya saling hormat menghormati, pertembungan di Anfield dijangka berlangsung panas.

Ketika keputusan seri di Old Trafford pada Januari lalu, kedua-dua pengurus bertegang leher di kawasan teknikal dengan Mourinho berkata, Klopp lebih memberi tumpuan terhadap lambaian tangannya berbanding mengendali pasukan.

Klopp membalasnya dengan mengkritik taktik 'hantaran jauh' United.

Sejak Mourinho dilantik sebagai pengurus United, dia sudah mengumpul keseluruhan 88 mata, jumlah yang sama dimiliki Klopp dalam tempoh yang sama.

Begitupun, Mourinho sudah pun menjulang dua trofi utama dalam kabinetnya - Piala Liga dan Liga Europa - ketika Klopp masih menantikan kejuaraan sulungnya.

Mourinho berkata, dia teruja dengan satu lagi pertembungan dengan kelab di mana dia menjulang trofi Inggeris pertama apabila Chelsea menewaskan Liverpool pada final Piala Liga 2005 dan juga kelab yang memberikannya dua kekalahan di separuh akhir Liga Juara-Juara.

"Saya memperoleh beberapa masa yang hebat di Anfield dan saya juga mendapat beberapa masa yang teruk," kata Mourinho.

"Mereka memperoleh kegembiraan menentang saya, tetapi mereka juga memperoleh masa yang menyedihkan bertemu saya.

"(Kini) jika mereka menghormati saya sebanyak mana saya menghormati mereka, kita akan menikmati saya lagi perlawanan seperti itu," katanya. - Reuters

2316 dibaca
Berita Harian X