Khamis, 19 Oktober 2017 | 1:22pm
PENGENDALI Chelsea, Antonio Conte (kiri) memberi amaran kepada rakan sejawatannya dari United, Jose Mourinho supaya berhenti bercakap mengenai Chelsea.

Perang mulut Conte, Mourinho bermula

LONDON: Antonio Conte memberi amaran kepada Jose Mourinho supaya berhenti bercakap mengenai Chelsea selepas pengendali Manchester United itu mengkritik kenyataan mengenai masalah kecederaan yang diharungi skuad kendaliannya.

Taktik berhati-hati dipamerkan United minggu lalu menyaksikan mereka terikat dengan Liverpool sebelum meraih kemenangan 1-0 ke atas Benfica, awal pagi tadi.

Mourinho berkata dia harus memilih pendekatan konservatif kerana pasukannya hilang beberapa pemain tonggak.

Begitupun Mourinho menegaskan ia bukanlah satu sebab untuk mencari alasan di mana pengendali itu percaya rakan seangkatannya yang lain menyalahkan saingan Liga Perdana Inggeris.

Bos Chelsea, Conte kerap mengulangi betapa pasukannya sering mengalami masalah kecederaan yang menyaksikan mereka ketika ini tidak mampu mencipta kemenangan dalam tiga perlawanan selepas diikat 3-3 oleh Roma.

Conte tidak dapat menyenaraikan N'Golo Kante, Victor Moses dan Danny Drinkwater manakala Alvaro Morata baharu saja kembali menemui kecergasan.

"Saya tidak pernah bercakap mengenai kecederaan. Pengurus lain, mereka seakan menangis apabila terdapat pemain yang cedera," kata Mourinho selepas meraih kemenangan ke atas Benfica.

"Sekiranya saya mahu bersedih, saya boleh menangis seperti yang lain untuk lima minit; Ibrahimovic, Fellaini, Pogba, Rojo."

Diberitahu media mengenai komen Mourinho itu, Conte bertanyakan sama ada kenyataan itu dibuat ke atas dirinya.

Apabila dikatakan ya, raut wajah Conte terus berubah dan memberitahu bekas pengurus Chelsea, Mourinho supaya menjaga masalah sendiri.

"Sekiranya ia ditujukan kepada saya jawapannya ialah dia perlu memikirkan mengenai pasukannya sendiri dan melihat diri sendiri berbanding yang lain," kata Conte.

"Sudah banyak kali Mourinho dapat melihat apakah yang berlaku di Chelsea. Juga pada musim lalu. Dia perlu melihat pasukannya sendiri." - AFP

1671 dibaca
Berita Harian X