Jumaat, 20 Oktober 2017 | 10:09pm
KETUA jurulatih Kedah, Nidzam Adzha resah tiga pemain utama cedera ketika latihan menjelang pertemuan menentang FELDA, esok.

Kedah ditimpa nasib malang

ALOR SETAR: Latihan terakhir Kedah hari ini yang sepatutnya menjadi persiapan terbaik menjelang pertemuan getir menentang FELDA United pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia, malam esok bertukar igauan buruk buat pengendalinya, Nidzam Adzha Yusoff.

Ini berikutan kecederaan yang menimpa tiga pemain utamanya dengan penyerang Ken Ilso paling serius apabila disahkan tidak boleh beraksi esok.

Ilso, peledak utama dengan menjaringkan lima gol sepanjang kempen kejohanan ini mengalami kecederaan buku lali pada sesi memanaskan badan dalam sesi latihan di Stadium Mini Peremba dan terpaksa dikeluarkan untuk menerima rawatan.

Tanpa Ilso, Nidzam dijangka akan mempertaruhkan penyerang muda Syafiq Ahmad di bahagian atas.

Tonggak tengah, Baddrol Bakhtiar juga dalam pemantauan selepas mengalami sedikit luka di muka dan kesakitan di bahagian tengkuk selepas bertembung dengan penjaga gol, Muhammad Asri Muhamad.

Bagaimanapun, selepas menerima rawatan, dia yang bakal mengambil alih tugas Khairul Helmi Johari sebagai kapten menyatakan kecederaannya tidak serius.

"Saya OK, tak teruk cuma saya kena lihat kecederaan ini dulu malam nanti," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan itu.

Sementara itu, penjaga gol Ifwat Akmal Chek Kassim pula tidak menjalani latihan penuh, sebaliknya direhatkan sebagai langkah berjaga-jaga selepas dia dikatakan mengalami kesakitan di bahagian bahu.

Sebelum ini, Nidzam pening kepala dengan masalah kecederaan hamstring yang dialami Syazwan Zainon tetapi pemain sayap itu dilihat sudah menjalani latihan hari ini.

Selain itu, Kedah yang bakal turun selaku juara bertahan kehilangan pemain pertahanan tengah Khairul Helmi dan arkitek pasukan, Liridon Krasniqi akibat penggantungan perlawanan.

Skuad Helang Merah memburu aksi final kali ketiga berturut-turut selepas aksi separuh akhir pertama di Jengka minggu lalu berkesudahan seri 1-1.

12890 dibaca
Berita Harian X