Sabtu, 28 Oktober 2017 | 12:16am
PENYERANG Spurs, Harry Kane (kanan) akan terlepas aksi Liga Perdana Inggeris berdepan skuad kendalian Jose Mourinho di Old Trafford, esok.

Kane terlepas aksi berdepan Manchester United

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino mengesahkan Harry Kane terlepas perlawanan Liga Perdana Inggeris berdepan pencabar utama, Manchester United, esok.

Pemain berusia 24 tahun yang berada pada prestasi terbaik ketika ini mengalami kecederaan ketika menentang Liverpool di Wembley yang menyaksikan dia menyumbang dua gol untuk membantu pasukannya menang 4-1.

Spurs mengesahkan perkara itu di akaun Twitter kelab bahawa penyerang England itu mengalami kesakitan pada hamstring kiri, dan Pochettino pada sidang media, hari ini mengakui Kane tidak akan bersama pasukan pada kunjungan ke Old Trafford.

"Kami tidak boleh ambil risiko," kata jurulatih kelahiran Argentina itu. "Doktor dan staf perubatan membuat keputusan untuk tidak mengambil risiko. Tidak patut untuk mengambil risiko itu dan menjadikan masalah lebih besar."

Pochettino jelas kecewa dengan ketiadaan penyerang prolifik itu, namun menegaskan ia hanya masalah kecil.

"Pemain bukan mesin dan sukar untuk menghadapi tugas antarabangsa dan bermain setiap tiga hari," katanya.

"Ia bukan masalah besar, hanya isu kecil, tetapi dia tidak akan bermain (pada hari Sabtu)." - AFP

752 dibaca
Berita Harian X