Ahad, 12 November 2017 | 8:46pm
SPRM telah membuat pemeriksaan awal terhadap pasukan Kedah susulan dakwaan pembabitan dalam kes rasuah sebelum aksi final Piala Malaysia, 4 November lalu. - Foto Shahril Badri Saali

SPRM mulakan siasatan ke atas Helang Merah

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan hanya pemeriksaan awal dilakukan ke atas skuad bola sepak Kedah susulan dakwaan pembabitan dalam kes rasuah sebelum aksi final Piala Malaysia, 4 November lalu.

Sumber SPRM berkata, pemeriksaan awal itu dilakukan selepas dakwaan membabitkan jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff dan enam pemain skuad Helang Merah itu tersebar melalui laman media sosial.

"Saya ingin memaklumkan bahawa SPRM Kedah tidak menerima sebarang aduan rasmi daripada mana-mana pihak yang dikatakan terbabit di dalam isu ini (rasuah bola sepak), di mana dakwaan tujuh pemain Kedah menerima sogokan RM200,000.

"Namun, satu tindakan pemeriksaan awal ke atas skuad bola sepak Kedah dijalankan oleh SPRM Kedah... ia bukan secara siasatan terbuka dan hanya tindakan lanjut untuk mengumpul maklumat masih berterusan.

"SPRM Kedah meminta orang ramai untuk tampil bagi membuat aduan rasmi, sekiranya terdapat bukti dan keterangan yang boleh membantu SPRM," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, yang mengesahkan SPRM sudah memanggil pemain yang dituduh menerima rasuah sebelum pertandingan akhir Piala Malaysia antara Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Sebelum ini di laman media sosial, seorang individu membuat komen dengan tajuk 'calon jual game Final Piala Malaysia 2017' dan tertera tujuh nama membabitkan pemain dan Nidzam.

Nidzam kemudian tampil membuat laporan polis berhubung kenyataan yang tersebar sehingga viral di media sosial itu.

690 dibaca
Berita Harian X