Ahad, 12 November 2017 | 8:55pm
KETUA jurulatih pasukan kedah, Nidzam Adzha sahkan sudah mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

Nidzam sudah berjumpa SPRM

ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff mengesahkan beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini berhubung tuduhan rasuah terhadapnya dan pemain Kedah yang tular di media sosial minggu lalu.

Nidzam berkata, beliau dihubungi SPRM pada jam 9.45 pagi dan sudah berjumpa dengan wakil mereka di Jitra bagi menjelaskan isu tuduhan rasuah membabitkan dirinya.

"Saya memberi beberapa keterangan awal kepada pihak SPRM berkaitan isu ini dan segala proses berjalan dengan baik," katanya.

Khamis lalu, Nidzam tampil membuat laporan polis di Balai Polis USJ Subang Jaya selepas mendapat maklumat mengenai tuduhan seorang individu berkaitan isu rasuah sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Aminuddin Omar berkata, pihaknya masih belum menerima maklumat secara rasmi daripada SPRM berkaitan isu itu.

Katanya, sehingga kini pihaknya masih belum dihubungi bagi memberitahu jika ada pemain pasukan itu dipanggil bagi membantu siasatan.

"Cuma kita difahamkan ada pemain diminta SPRM memberi keterangan awal iaitu proses biasa SPRM apabila mereka menerima maklumat menerusi media sosial.

"Setakat hari ini, apa yang kita dapat maklumkan, kita yakin pemain kita tidak terbabit dalam masalah ini," katanya.

997 dibaca
Berita Harian X