Rabu, 15 November 2017 | 10:05am
KETUA jurulatih Denmark, Age Hareide dirai pemain selepas tamat aksi playoff Piala Dunia 2018 menentang Republik Ireland di Dublin, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Denmark bertuah kerana miliki Eriksen

DUBLIN: Denmark akan ke Piala Dunia 2018 dengan seorang daripada 10 pemain terbaik dunia, Christian Eriksen, kata jurulatih, Age Hareide selepas tonggak utama Tottenham itu meledak hatrik ketika membelasah Ireland, 5-1, pagi tadi.

Skuad itu menempah tiket ke Russia dengan penuh bergaya dalam aksi kedua playoff di Dublin, selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan dalam pertemuan pertama di Copenhagen.


PEMAIN tengah Denmark, Christian Eriksen mengawal bola cuba dihalang kapten Republik Ireland pada aksi playoff Piala Dunia di Dublin, awal pagi tadi. - Foto Reuters

"Semua pasukan yang layak ke Piala Dunia mempunyai pemain bintang yang akan memberi kesan berbeza kepada pasukan dan Christian membuktikannya hari ini," kata Hareide ketika sidang media.

"Dia memang berada dalam kelompok 10 terbaik (dunia). Kami menyaksikannya ketika menentang Real Madrid dan ketika ini, dia sememangnya seorang daripada pemain terbaik di posisinya di Eropah.

"Dia mempunyai kemampuan menjaringkan gol, membantu gol dan bijak mencari ruang,"

Ditanya berapa jauh skuad Denmark mampu melangkah dalam edisi Piala Dunia tahun depan, Hareide berkata, ia bergantung kepada undian sambil menegaskan perlu terus meningkat dan bermain bola sepak yang menarik.

Bagi, Ireland, ceritanya cukup berbeza. Selepas mempamerkan aksi mantap dan cukup tersusun pada empat hari lalu, bahkan mendahului saingan pada pagi tadi, Ireland akhirnya menyerah kalah sepenuhnya.

Keputusan itu sekali gus membuatkan pengurus, Martin O'Neill akan berdepan pelbagai persoalan mengenai taktik, pertukaran babak pertama dan suasana yang menyelubungi pemainnya.

"Saya memang kecewa, kerana beberapa malam lalu di Copenhagen, kami melawan dengan begitu baik," kata O'Neill ketika temuramah ringkas dengan stesen penyiar kebangsaan, RTE.

"Kami bolos dua gol dalam tempoh beberapa minit...ia cukup mudah. Kami tewas kepada pasukan yang secara teknikalnya lebih baik daripada kami.

Bagaimanapun, O'Neill menegaskan dia masih berminat untuk menandatangani kontrak baharu dua tahun seperti yang dipersetujui dengan Persatuan Bolasepak Ireland dan bakal membimbing pasukan untuk mara ke Euro 2020.

Ketika ditanya mengenai keberkesanan taktik digunakan O'Neill yang kelihatan mampu mendominasi aksi, rakan sejawatannya berkata; "Jika kamu kalah 5-1, kamu tidak berjaya," kata Hareide. - Reuters

865 dibaca
Berita Harian X