Rabu, 15 November 2017 | 11:39am
PEMAIN Qatar meraikan gol jaringan Mohammed Muntari (tengah) pada aksi persahabatan antarabangsa menentang Iceland di Doha, awal pagi tadi. - Foto AFP

Muntari julang Qatar ikat Iceland

DOHA: Gol penyamaan minit akhir daripada pemain Qatar, Mohammed Muntari bermakna Iceland memanaskan badan bagi penampilan sulung pada pusingan akhir Piala Dunia di Russia tahun depan tanpa sebarang kemenangan selepas bermain dua aksi persahabatan di Doha.

Keputusan seri 1-1 awal pagi tadi susulan kekalahan 1-2 di tangan Republik Czech di Qatar minggu lalu.

Muntari merembat masuk dari jarak dekat untuk memaksa keputusan seri buat tuan rumah Piala Dunia 2022 itu di sebalik persembahan bertenaga Iceland.


KAPTEN Iceland, Gylfi Por Sigurdosson (kiri) dikekang oleh pemain tengah Qatar, Assim Omer Madibo aksi persahabatan antarabangsa di Doha, awal pagi tadi. - Foto AFP

Jurulatih Iceland, Heimir Hallgrimsson menegaskan beliau tidak begitu tertekan dengan keputusan itu namun dukacita dengan persembahan pemain pelapisnya.

"Mengecewakan untuk melepaskan gol pada masa kecederaan tapi mungkin ia wajar, 1-1 mungkin keputusan yang tepat," katanya.

"Ia bukan semuanya mengenai keputusan tapi kami mahu melihat lebih ramai pemain tampil dan membuktikan mereka sepatutnya beraksi di Russia."

Iceland kelihatan akan mencatat kemenangan rutin selepas Vidar Orn Kjartansson meledak gol pembukaan pada minit ke-26 selepas menerima hantaran kapten Gylfi Sigurdsson, yang mengambil kesempatan berikutan kesilapan benteng pertahanan Qatar.

Namun mereka gagal mengatasi pasukan muda Qatar - dengan purata usia hanya 24 tahun - dan gagal layak ke pusingan akhir tahun depan.

Jurulatih Qatar, Felix Sanchez, yang mengambil alih pasukan itu selepas kempen hambar pada kelayakan Piala Dunia berkata, beliau melihat tanda peningkatan dalam pasukan mudanya.

"Kami bermain menentang pasukan yang sukar dikalahkan," katanya.

"Saya fikir kami berhak sekurang-kurangnya seri, jika kami menyudahkan peluang mungkin kami berhak menang."

Iceland, dengan hanya 330,000 penduduk, adalah negara paling kecil pernah layak ke Piala Dunia.

Hanya 2,758 penonton menyaksikan perlawanan itu di Stadium Abdullah Khalifa termasuk bekas bintang Barcelona, Xavi Hernandez, yang kini beraksi dengan kelab Qatar, Al Sadd. - AFP

928 dibaca
Berita Harian X