Rabu, 15 November 2017 | 12:12pm
PENYERANG Argentina, Sergio Aguero (tengah) diasak dua pemain Nigeria, John Obi Mikel (kiri) dan Chidozie Awaziem pada aksi persahabatan antarabangsa di Krasnodar, Russia, awal pagi tadi. - Foto EPA-EFE

Aguero alami 'tempoh pening'

MOSCOW: Penyerang Argentina, Sergio Aguero yang tumbang dan pengsan di bilik persalinan ketika rehat babak pertama pertemuan dengan Nigeria berada dalam keadaan 'baik', menurut Persatuan Bolasepak Argentina (AFA) dalam satu kenyataan, hari ini.

Situasi cemas itu terjadi ketika perlawanan persahabatan antarabangsa yang menyaksikan Argentina tewas 2-4 di Krasnodar, Russia, awal pagi tadi.

AFA menyatakan Aguero yang menjaringkan gol pada babak pertama dibawa menjalani ujian rutin dan menambah: "Keadaan pemain itu baik."


REAKSI pengendali Argentina, Jorge Sampaoli ketika menentang Nigeria pada aksi persahabatan antarabangsa di Russia, awal pagi tadi. - Foto EPA-EFE

Kelab Inggeris, Manchester City menegaskan pemain berusia 29 tahun itu sudah mendapat pelepasan doktor dan akan pulang ke England seperti dirancang selepas mengalami situasi digelar "tempoh pening."

"Sergio tidak pernah hilang kesedarannya dan dibawa ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga," menurut City dalam laman sesawang rasminya (www.mancity.com).

Jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli merehatkan Lionel Messi selepas menang 1-0 ke atas tuan rumah Piala Dunia, Russia minggu lalu dan ketiadaannya jelas dirasai.

"Ia perlawanan yang sukar untuk dijelaskan," kata Sampaoli. "Kami boleh mendahului 3-0 atau 4-0 selepas babak pertama dan kami mendahului 2-1.

"Kebimbangan terbesar saya adalah cara pasukan bermain apabila kami ketinggalan. Saya sedar kami mampu dan mempunyai bakat individu untuk keluar daripada situasi ini dan saya bimbang mengenai apa yang berlaku malam ini." - Reuters

773 dibaca
Berita Harian X