Rabu, 15 November 2017 | 12:44pm
PELEDAK berbisa Sweden, Zlatan Ibrahimovic bersara daripada pentas antarabangsa tahun lalu.

Mungkinkah Ibrahimovic kembali?

STOCKHOLM: Susulan kejayaan Sweden yang dilabel "Keajaiban Milan" yang membawa mereka ke pusingan akhir Piala Dunia 2018 dengan menyingkirkan Itali, wujud persoalan sama ada peledak berbisa Zlatan Ibrahimovic akan keluar daripada persaraan.

Seminit selepas pemain Sweden berpelukan susulan keputusan seri 0-0 semalam yang mencipta antara kejutan terbesar, Ibrahimovic menulis dalam laman Instagram "Kami adalah Zweden" berserta gambar pasukan kebangsaan.

Penyerang Manchester United itu yang sengaja menukar huruf 'Z' dengan nama negaranya Sweden mengumumkan persaraannya daripada pentas antarabangsa tahun lalu.

Turut menyaksikan perlawanan itu di San Siro bagi memberi sokongan kepada rakan senegaranya, Ibrahimovic begitupun menegaskan sebelum perlawanan dia tidak akan membuat pusingan U.

"Cerita saya dengan skuad kebangsaan sudah berakhir. Mungkin saya boleh melakukan sesuatu yang lebih, mungkin juga kurang tapi masa saya (dengan mereka) sudah berakhir," katanya kepada Sky Sports Itali, minggu lalu.

Begitupun dengan pengaruh kuatnya dalam kalangan pemain, kepulangan semulanya bersama skuad kebangsaan dianggap sesuatu yang baik.

"Jika saya yang membuat keputusan, secara terus terang, saya akan mengambilnya," kata ejen pemain berusia 36 tahun itu, Mino Raiola kepada akhbar harian Sweden, Expressen.

Ketika sidang media sebelum perlawanan, jurulatih Janne Andersson berang apabila fokus wartawan lebih tertumpu terhadap persoalan sama ada penyerang veteran itu boleh kembali menyarung jersi Sweden di Piala Dunia tahun depan.

"Ini sesuatu yang menakjubkan. Pemain ini sudah berhenti bermain dengan Sweden sejak setahun setengah lalu dan anda masih lagi bercakap mengenainya," kata Andersson.

"Anda perlu bercakap mengenai pemain hebat dalam pasukan ini."

Sweden menewaskan Perancis 2-1 di laman sendiri dan menamatkan saingan peringkat Kumpulan A di tangga kedua dengan menyingkirkan Belanda.

"Kini apabila saya tidak lagi berada dalam pasukan, mereka akan bermain dengan kurang tekanan. Orang juga tidak meletakkan jangkaan terlalu tinggi," kata Ibrahimovic mengulas perlawanan playoff Sweden. - AFP

2330 dibaca
Berita Harian X