Sabtu, 18 November 2017 | 7:38pm
JURULATIH Kedah, Nidzam Adzha Yusoff yang difitnah di laman sosial facebook milik Muhammad Ridzwan diminta tampil ke mana-mana balai polis dan memberi keterangan berhubung dakwaannya.

Nidzam beri tempoh 14 hari kepada Ridzwan

SUBANG JAYA: Pemilik akaun Facebook, Muhammad Ridzwan diberi tempoh 14 hari bermula hari ini untuk tampil ke mana-mana balai polis dan memberi keterangan berhubung dakwaannya jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff dan enam pemain Helang Merah menerima rasuah pada final Piala Malaysia, 4 November lalu.

Penasihat perundangan kepada Nidzam, Datuk Iszam Kamal Ismail berkata, pemilik akaun berkenaan juga perlu menunjukkan bukti sahih mengenai dakwaannya itu.

Katanya, jika gagal menunjukkan bukti, Muhammad Ridzwan seterusnya diminta membuat permohonan maaf bagi membersihkan nama Nidzam dan pemain Kedah yang dianggap berdepan tuduhan fitnah.

"Jika dia (Muhammad Ridzwan) tidak hadir memberi keterangan di balai polis dalam tempoh itu dan enggan membuat permohonan maaf, kami tidak teragak-agak untuk memfailkan saman terhadapnya.

"Ini kerana tuduhan yang dibuatnya itu terlalu berat hingga menjatuhkan reputasi dan kredibiliti Nidzam serta pemain Kedah.

"Tujuan kami mengambil tindakan ini juga sebagai memberi pengajaran kepada masyarakat supaya tidak sewenang-wenangnya menyebarkan apa saja di laman sosial hingga menjatuhkan nama baik individu tertentu," kata Iszam selepas memberi keterangan di Balai Polis USJ 8, di sini, hari ini.

Pada 9 November lalu, Nidzam sudah membuat laporan polis selepas dakwaan beliau bersama enam pemain Kedah - Arif Farhan Isa, Rizal Ghazali, Amirul Hisyam Awang Kechik, Syazwan Zainon, Ifwat Akmal Che Kassim dan kapten, Khairul Helmi Johari - didakwa menerima rasuah dan menjual perlawanan final Piala Malaysia.

Malah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin lalu mengesahkan melakukan pemeriksaan awal ke atas skuad bola sepak Kedah susulan dakwaan rasuah terbabit.

Pada perlawanan akhir itu, Helang Merah yang juga juara bertahan Piala Malaysia tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) hasil jaringan Aidil Zafuan Abd Radzak dan Gonzalo Cabrera.

Sementara itu, Nidzam yang turut hadir menjelaskan beliau mahu namanya dibersihkan kerana tuduhan itu turut memberi kesan kepada keluarganya.

"Saya harap harap polis dapat membuat siasatan secara terperinci untuk selesaikan masalah ini kerana ia boleh menjejaskan nama dan masa depan kerjaya saya," katanya.

6081 dibaca
Berita Harian X