Sabtu, 2 Disember 2017 | 9:34pm
JURULATIH Kedah, Nidzam Adzha Yusoff selesai beri keterangan kepada Polis berhubung tuduhan rasuah pada final Piala Malaysia 2017.

Jurulatih, dua pemain Kedah selesai beri keterangan

ALOR SETAR: Jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff selesai memberi keterangan yang diperlukan polis berkaitan tuduhan rasuah yang dilemparkan ke atas mereka berkaitan dakwaan menjual perlawanan akhir Piala Malaysia pada 4 November lalu.

Turut hadir bersama Nidzam ialah dua pemain Kedah iaitu ketua pasukan, Khairul Helmi Johari dan pemain muda, Amirul Hisyam Awang Kecik ke Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Negeri Kedah pada jam 11 pagi hari ini.

Mereka difahamkan memberi keterangan yang diperlukan selama sejam bagi membantu siasatan berkaitan tuduhan rasuah yang dilemparkan pemilik akaun Facebook, Muhammad Ridzwan.

Penasihat perundangan kepada Nidzam Adzha, Datuk Iszam Kamal Ismail berkata, jurulatih dan pemain berkenaan memberi kerjasama yang baik termasuk maklumat yang dikehendaki polis bagi merungkai kes tuduhan berkenaan.

"Selepas keterangan dan kerjasama yang diberikan oleh jurulatih dan pemain, saya yakin ia dapat membantu polis dan seterusnya mencari individu yang menyebarkan fitnah ini dan pada masa yang sama menyelesaikan kes dengan lancar dan cepat.

"Mereka (dua pemain dan jurulatih) tampil memberi kerjasama dan maklum balas segera seperti dikehendaki polis.

"Adalah tidak adil mereka dituduh mengambil rasuah sedangkan mereka sudah bersusah payah membawa pasukan Kedah menjuarai Piala FA dan mara ke final Piala Malaysia musim ini," katanya.

Iszam juga berkata, beliau berharap individu yang melemparkan fitnah itu hadir segera ke balai polis berdekatan dan mengemukakan bukti.

"Jadi saya amat berharap kes ini dapat diselesaikan segera demi menjaga nama baik jurulatih Kedah serta enam pemain terbabit," katanya.

914 dibaca
Berita Harian X