Khamis, 14 Disember 2017 | 9:09pm
PEMAIN pertahanan Kedah, Rizal Ghazali (kiri) antara pemain yang difitnah mengambil rasuah pada final Piala Malaysia 2017. - Foto fail

Ridzwan sedia bersemuka memohon maaf

KUALA LUMPUR: Pemilik akaun Facebook, Muhammad Ridzwan yang mencetuskan

kontroversi dengan mendakwa jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff dan enam pemainnya terbabit rasuah, sedia bersemuka dengan mereka untuk memohon maaf.

Dia mendakwa sudah memulakan langkah dengan menghubungi Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Badrul Hisham Hashim melalui telefon dan aplikasi WhatsApp bagi meminta bantuan menyelesaikan isu berkenaan.

Ridzwan yang bersetuju ditemubual melalui aplikasi WhatsApp dan bersikap berhati-hati membuat kenyataan berkata dia juga sudah membuat permohonan maaf sekali lagi kepada Nidzam serta Khairul Helmi Johari, Rizal Ghazali, Syazwan Zainon, Ifwat Akmal Che Kassim, Amirul Hisham Awang Kechik dan Ariff Farhan Md Isa melalui Facebook pada 8 Disember lalu.

"Saya mengaku telah melakukan kesalahan dengan membuat dakwaan itu. Selepas segala usaha saya meminta maaf tidak diterima, saya bersedia bertemu mereka pada bila-bila masa dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

"Saya telah menghubungi Datuk Badrul untuk meminta bantuan bagi menyelesaikan isu ini tapi sehingga sekarang masih menunggu maklum balas daripada beliau. Malah, pada 8 Disember lalu, saya sekali lagi telah membuat permohonan maaf melalui akaun Facebook saya.

"Saya telah menghantar mesej peribadi kepada Khairul Helmi dan 'tag' status saya itu kepadanya tapi tidak mendapat sebarang maklum balas. Saya harap perkara ini dapat diselesaikan dalam suasana harmoni tanpa membabitkan proses undang-undang," katanya.

Menerusi kenyataan pada 8 Disember lalu, Ridzwan berkata dia terpaksa melindungi identitinya dengan menutup muka dalam permohonan maaf pertama melalui video baru-baru ini kerana bimbangkan keselamatan dirinya serta keluarga.

"Saya buat permohonan maaf atas dasar ikhlas dengan niat menjernihkan keadaan dan membersihkan nama pasukan bola sepak Kedah. Tidak ada niat saya untuk menjatuhkan sesiapa melalui posting saya itu.

"Ia berlaku secara spontan tanpa penelitian dan berfikir panjang. Saya akui perbuatan saya sukar dimaafkan tetapi saya tetap mahu memohon maaf serta sangat mengharapkan permohonan maaf saya diterima," katanya.

Ridzwan sebelum ini diberi 'talian hayat' oleh penasihat perundangan Nidzam, Datuk Iszam Kamal Ismail agar tampil bersemuka dengan jurulatih dan enam pemain itu bagi mengelak tindakan saman antara RM2 juta hingga RM3 juta.

Khairul Helmi turut menyatakan hasrat meneruskan tindakan undang-undang ke atas individu itu dengan tuntutan ganti rugi sekurang-kurangnya RM200,000 selepas enggan menerima permohonan maaf melalui video yang dianggap tidak ikhlas.

2023 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »