Jumaat, 15 Disember 2017 | 10:20am
KAPTEN Kedah, Khairul Helmi Johari bersama jurulatih serta lima rakan sepasukan memang menunggu kehadiran Ridzwan bagi menyelesaikan isu dakwaan rasuah. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Jangan sekadar cakap kosong: Khairul Helmi

KUALA LUMPUR: "Mai jumpa, kami memang dok tunggu hang."

Demikian reaksi Khairul Helmi Johari mengenai hasrat pemilik akaun Facebook, Muhammad Ridzwan yang menyatakan kesediaan bersemuka serta memohon maaf kepadanya serta enam individu lain yang dipalitkan dengan dakwaan rasuah.

Ketua pasukan Kedah itu berkata, dia bersama jurulatih, Nidzam Adzha Yusoff serta lima rakan sepasukan, Rizal Ghazali, Syazwan Zainon, Ifwat Akmal Chek Kassim, Amirul Hisyam Awang Kechik dan Ariff Farhan Md Isa memang menunggu kehadiran Ridzwan bagi menyelesaikan isu itu.

"Kami memang hendak sangat berkenalan serta berjumpa dengan dia, justeru hasrat itu kami sambut baik. Datanglah, kami menunggu dan sedia bertemu bila-bila masa.

"Saya rasa tidak sukar untuk dia bertemu kami kerana semua pemain berada di Alor Setar serta menjalani latihan setiap hari. Datang saja ke padang latihan, kami ada di situ.

"Saya harap, ini bukan cakap-cakap kosong daripada dia kerana selagi dia tidak menemui kami, kes ini tidak akan selesai begitu saja. Kami sudah memberi peluang serta masa yang cukup untuk dia berbuat demikian," kata pemain yang mesra disapa Keon itu.

Semalam, Ridzwan menyatakan kesanggupannya untuk bertemu Khairul Helmi, Nidzam serta lima pemain lain selepas permohonan maaf yang dibuat melalui video dan Facebook tidak 'dilayan' oleh mereka.

Dia juga mendakwa pernah menghantar mesej peribadi serta 'tag' status permohonan maaf yang dilakukan melalui Facebook kepada Khairul.

Di samping itu Ridzwan berkata, dia turut menghubungi Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Badrul Hisham Hashim bagi membantunya menyelesaikan isu itu tetapi belum menerima sebarang maklum balas.

Bagaimanapun Khairul menafikan pernah menerima sebarang mesej daripada Ridzwan sambil menasihati individu itu berhenti daripada terus 'bersandiwara' sebaliknya perlu menunjukkan kesungguhan untuk menyelesaikan isu itu.

Sementara itu Nidzam menyerahkan kes itu kepada penasihat perundangan beliau, Datuk Iszam Kamal Ismail untuk tindakan lanjut berikutan perkembangan terbaru itu.

"Setakat ini, dia (Ridzwan) tidak pernah menghubungi saya atau Datuk Iszam untuk berbincang mengenai isu ini. Saya ada menerima salinan mesej permohonan maaf kali kedua dibuatnya melalui Facebook tapi bukan daripada dia sebaliknya dihantar oleh orang yang tidak saya kenali.

"Saya sudah melantik peguam untuk mengendalikan kes ini, jadi sebarang tindakan akan saya bincangkan dengan beliau," kata Nidzam tanpa mengulas lanjut hasrat Ridzwan untuk bertemu serta membuat permohonan maaf kepadanya.

4039 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »