Ahad, 7 Januari 2018 | 10:02am
PENGURUS Chelsea, Antonio Conte melabelkan pengurus United sebagai 'lelaki kerdil'.

Perang Conte-Mourinho makin panas

LONDON: Antonio Conte melabelkan Jose Mourinho sebagai 'lelaki kerdil' ketika permusuhan pengurus Chelsea dan Manchester United itu menjadi semakin panas selepas pasukan itu mencatat seri tanpa jaringan dengan Norwich dalam aksi Piala FA awal pagi tadi.

Conte dan Mourinho saling berperang mulut sepanjang musim ini dan pertelagahan mereka bagaikan mencapai kemuncaknya sejak minggu lalu.

Membalas komen Mourinho terhadap Conte berhubung skandal mengatur perlawanan di Itali sebelum ini, bekas jurulatih Juventus itu berkata: "Kami semua amat mengenalinya. Semuanya sama saja. Itulah caranya. Bukan kejutan bagi saya.

"Saya rasa apabila anda cuba menyakitkan hati seseorang apatah lagi jika anda tahu apa sebenarnya berlaku, mahkamah juga membuktikan saya tidak bersalah. Apabila anda melakukannya ia bermakna anda seorang lelaki kerdil.

"Namun ia bukan kali pertama. Beliau pernah melakukannya sebelum ini dan terus melakukannya sekarang, apabila anda melakukannya seperti ini, anda akan terus melakukannya seperti ini."

Mourinho mencetuskan perang baru apabila beliau ditanya mengenai sikap tenangnya di padang dan membalasnya dengan berkata beliau tidak lagi berlagak 'seperti badut', dalam komen yang secara tidak langsung menyindir Conte dan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.

Conte membalas balik dengan menyatakan bahawa pengurus United itu mungkin sudah 'nyanyuk' kerana sudah lupa apa yang pernah dilakukannya di tepi padang sebelum ini.

Mourinho nampaknya sukar menerima ejekan itu dan selepas United menang ke atas Derby kelmarin, beliau berkata: "Apa yang tidak pernah berlaku kepada saya dan tidak akan berlaku kepada saya adalah digantung kerana mengatur perlawanan.

Dakwaan 'mengatur perlawanan' mencetuskan persoalan sama ada ia ditujukan secara langsung kepada Conte.

Pengurus Chelsea itu pernah didakwa melakukan penipuan pada 2016. Pihak pendakwaraya memohon penggantungan enam bulan selepas mendakwa beliau gagal melaporkan kes mengatur perlawanan ketika mengendalikan kelab Serie B Siena pada 2011. Conte kemudiannya digantung empat bulan. - AFP

1677 dibaca
Berita Harian X