Ahad, 7 Januari 2018 | 12:03pm
PENYERANG skuad B-23, R Kogileswaran mendapat kepercayaan pengendali Datuk Ong Kim Swee dan dilihat semakin serasi bersama pemain lebih senior.

Kogi mahu tebus duka 2014

PENYERANG muda negara, R Kogileswaran mahu menjadikan detik kegagalan 2014 sebagai pembakar semangatnya untuk membantu misi skuad bawah 23 tahun negara (B-23) mengharungi Kejohanan AFC B-23 di Changshu, China bermula Rabu ini.

Kogileswaran atau lebih dikenali sebagai Kogi baru berusia 19 tahun namun mendapat kepercayaan pengendali Datuk Ong Kim Swee untuk bersama skuad lebih senior kali ini.

Bagaimanapun pentas antarabangsa bukan asing kerana pengalamannya bersama skuad B-16 dan B-19.

"Tekanan tak ada pada saya, saya pernah bermain dalam kejohanan AFC B-16, AFC B-19, dan kali ini AFC B-23, saya tahu standard antarabangsa macam mana.

"Bukan senang nak main dalam intensiti tinggi tapi saya akan buat yang terbaik untuk negara, harap-harap kita boleh layak ke suku akhir," katanya.

Kogi mula mendapat perhatian apabila hampir membantu skuad B-16 layak ke Piala Dunia B-17 pada 2015 di Chile namun disekat Australia dengan keputusan 1-2 di suku akhir Kejohanan AFC B-16 di Bangkok, Thailand.

Dan bekas pemain Harimau Muda C yang kini beraksi dengan Pahang itu percaya kegagalan itu adalah pengajaran terbaik buatnya.

"Skuad B-16 pernah cuba untuk layak ke Piala Dunia, tapi kalah 1-2 di suku akhir dengan Australia. Memang amat kecewa, itu pasukan B-16 yang terbaik pernah pergi sejauh itu. Dalam hidup saya tak lupakan insiden itu," katanya.

Kogi dilihat semakin serasi bersama pemain lebih senior dan berjaya membuktikan kemampuannya apabila meledak gol ketika menewaskan Honam University 1-0 dalam aksi persahabatan di Mokpo, Korea Selatan bulan lalu.

Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan C Kejohanan AFC B-23 menentang juara 2013, Iraq Rabu ini diikuti Jordan (13 Januari) dan Arab Saudi (16 Januari).

917 dibaca
Berita Harian X