Sabtu, 13 Januari 2018 | 7:24am
PENGURUS United, Jose Mourinho (kiri) mendedahkan dia berasa 'benci' terhadap pengurus Chelsea, Antonio Conte ketika mereka saling berbalas penghinaan.

Mourinho 'benci' Conte

MANCHESTER: Jose Mourinho semalam mendedahkan dia berasa 'benci' terhadap pengurus Chelsea, Antonio Conte ketika pertelagahan mereka secara umum terus memuncak.

Pengurus Manchester United itu saling berbalas penghinaan dengan rakan sejawatan di Chelsea sejak dua minggu lalu dengan pertelagahan mereka menjadi semakin teruk.

"Saya rasa apabila seseorang menghina orang lain anda akan menjangkakan tindak balas. Atau anda boleh menjangkakan kebencian," kata Mourinho kepada wartawan.

"Kali pertama dia menghina saya dan saya membalas, tindak balas yang saya tahu akan menyentuh satu tahap yang dia rasa benar-benar terluka.

"Kemudian dia menghina saya buat kali kedua tetapi kini saya berubah dan kini (saya ada) kebencian. Dan bagi saya benci bermakna penamat cerita."

Permusuhan antara kedua-dua pengendali itu berlanjutan sejak awal musim lalu dengan Mourinho menyalahkan Conte kerana memalukannya dengan gaya sambutan ketika United tewas 4-0 di Stamford Bridge pada Oktober 2016.

Kedua-dua pengurus terus mengata antara satu sama lain sejak itu, ditambah insiden Ander Herrera dibuang padang ketika saingan panas suku akhir Piala FA di London Mac lalu, apabila Conte menyalahkan United cuba menyekat Eden Hazard dengan kerap kali menjatuhkannya.

Conte juga mengkritik perbelanjaan United malah Mourinho turut mengejek ketua jurulatih Chelsea itu kerana melakukan rawatan rambut. - AFP

1129 dibaca
Berita Harian X