Sabtu, 13 Januari 2018 | 10:25am
PENGURUS City, Pep Guardiola mahu memastikan hasrat pasukannya untuk melakar sejarah musim ini diteruskan apabila berkunjung ke Anfield, malam esok.

Liverpool uji keunggulan City

LIVERPOOL, England: Pep Guardiola menggesa Manchester City supaya memastikan hasrat mereka untuk melakar sejarah musim ini diteruskan apabila pendahulu Liga Perdana Inggeris itu berkunjung ke Liverpool, malam esok.

Pasukan kendalian Guardiola kini mendahului 15 mata di depan pasukan tangga kedua Manchester United dan 18 mata berbanding pasukan tangga keempat Liverpool.

Kecuali kemerosotan teruk, City akan menghabiskan baki musim ini fokus kepada implikasi kempen menakjubkan mereka.

Jika pasukan tanpa kalah City meninggalkan Anfield tanpa terjejas, mereka hanya mempunyai 15 lagi perlawanan untuk mengelak kekalahan ketika mereka menyasarkan untuk menyamai pencapaian Arsenal pada 2003-04 dan Preston pada 1888-89, kedua-duanya menamatkan aksi musim liga utama tanpa kalah.

"Sudah tentu jika anda mahu meraih sesuatu ia bagus dan untuk memenangi kejuaraan anda perlu menang perlawanan sebegini," kata Guardiola.

"Musim ini di Stamford Bridge kami berjaya melakukannya tapi kami masih perlu ke Anfield, ke Emirates dan menentang Tottenham.

"Kami masih berdepan perlawanan sukar di tempat lawan, masih banyak perkara perlu dilakukan. Bagi kami ia satu ujian besar, pergi ke Anfield, satu daripada stadium dan pasukan paling berprestij di dunia jadi kami akan cuba memperagakan persembahan baik, ia perlawanan besar buat kami.

"Liverpool satu perlawanan penting untuk menyedari sekali lagi jika kami boleh lakukan perkara besar musim ini, pada peringkat penting ini, dalam Liga Juara-Juara."

Muncul pasukan ketiga liga utama England yang tidak boleh dikalahkan bukan satu-satunya pencapaian yang diintai City.

Hanya ada lima pencapaian rentetan tanpa kalah dalam liga utama berbanding pencapaian semasa City 30 perlawanan berturut-turut.

Arsenal mendahului carta dengan 49 perlawanan pada 2003-04, diikuti 42 oleh Nottingham Forest pada 1977-78, Chelsea dengan 40 pada 2004-05, Leeds 34 pada 1968-69 dan Liverpool 31 pada 1987-88.

City, yang masih memburu empat trofi musim ini, boleh muncul pasukan pertama memenangi perlawanan liga utama di Chelsea, Liverpool dan Manchester United pada musim sama sejak Wimbledon pada 1986-87. - AFP

1376 dibaca
Berita Harian X