Sabtu, 13 Januari 2018 | 10:58am

PDRM uji kekuatan di Yogyakarta

KUANTAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpeluang menguji kekuatan dan memantapkan pasukan apabila menyertai kejohanan bola sepak empat penjuru di Yogyakarta, Indonesia dari 16 hingga 20 Januari ini.

Selain PDRM, kejohanan itu turut disertai Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC dan dua pasukan tuan rumah, Persatuan Sepak Bola Sleman (PSS) dan Persatuan Sepak Bola Pakindo Mojokerto Putra.

Jurulatih The Cops, Zulhamizan Zakaria berkata, bertemu dengan dua pasukan negara jiran itu sudah pasti memberi pengalaman buat pemain untuk lebih bersedia mengharungi cabaran lebih besar dalam Liga Perdana musim ini.

"Sudah pasti matlamat kami untuk meraih kejayaan pada kejohanan ini kerana musim ini kami menyasarkan satu piala.

"Oleh itu, saya mengharapkan pemain dapat mempamerkan prestasi lebih baik dan konsisten sebagai motivasi menjelang aksi pembuka tirai Liga Malaysia bulan depan.

"Selepas menjalani latihan lebih sebulan dan beraksi dalam beberapa aksi persahabatan, kejohanan ini adalah masanya untuk menilai komitmen semua pemain," katanya.

313 dibaca
Berita Harian X