Sabtu, 13 Januari 2018 | 4:48pm
PASUKAN Pahang tetap akan beraksi pada waktu malam selepas Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM) memperuntukkan RM80,000 untuk menaik taraf tahap pencahayaan lampu limpah Stadium Darul Makmur. - Foto Farizul Hafiz Awang

PSDM yakin Pahang lulus main malam

KUANTAN: Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM) memperuntukkan RM80,000 untuk menaik taraf tahap pencahayaan lampu limpah Stadium Darul Makmur.

Pengurus PSDM, Mohd Izzuddin Mohd Kenali berkata, pelaksanaan kerja itu siap sepenuhnya semalam, bagi memastikan skuad Pahang dapat beraksi pada waktu malam.

Kini PDSM hanya menunggu pengesahan daripada Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) untuk memberi kelulusan.

"Sebelum ini timbul salah faham kerana ketika FMLLP datang untuk membuat ujian pencahayaan, kerja pemasangan lampu limpah sedang dilaksanakan.

"Sebab itu pencahayaan yang ditetapkan tidak mencapai tahap dikehendaki, sekali gus jadual perlawanan membabitkan skuad Tok Gajah diputuskan pada waktu petang.

"Sebaik penambahbaikan lampu limpah dilaksanakan, ia kini mencapai bacaan 1,200 lux dan diyakini menepati syarat ditetapkan FLMMP," katanya.

Baru-baru ini, FMLLP mengeluarkan jadual perlawanan membabitkan beberapa pasukan yang akan beraksi pada waktu petang kerana masalah berkaitan lampu limpah.

Antara pasukan yang terbabit adalah Pahang yang mencetuskan perdebatan di kalangan peminat skuad Tok Gajah yang mahu aksi liga dilangsungkan pada waktu malam.

Berdasarkan jadual saingan Liga Super musim 2018, Pahang akan memulakan kempen Liga Super apabila melayan kunjungan Perak di Stadum Darul Makmur, 4 Febuari depan.

717 dibaca
Berita Harian X