Rabu, 14 Februari 2018 | 5:28pm
WAI Hwang (kanan) mahu pemain lain jadikan kes Syihan sebagai pengajaran. FOTO/FAIL

Jadikan kes Syihan pengajaran: Yong Wai Hwang

KUALA LUMPUR: Jurulatih penjaga gol skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Yong Wai Hwang menganggap kes doping yang menimpa Ahmad Syihan Hazmi memberi mesej jelas kepada pemain dan juga pegawai supaya lebih berhati-hati selepas ini.

Beliau mengakui kecewa dengan berita mengejutkan itu memandangkan pihaknya tidak pernah dimaklumkan mengenai pengambilan makanan tambahan berbentuk protein oleh Syihan yang dikatakan menjadi punca pemain berkenaan disahkan positif ujian sampel A bahan terlarang, metabolite methandienone di Kejuaraan AFC B-23 di Changsu, China bulan lalu.

"Memang ini berita yang mengejutkan dan mengecewakan saya, kerana saya rapat dengannya. Dia bukan pemain bermasalah, sepanjang bersama pasukan, dia seorang pemain yang rajin berlatih malah sering melakukan latihan tambahan sendirian.

"Selama ini saya tak pernah menyangka dia ada mengambil bahan terlarang. Dia tidak ada memaklumkan kepada saya mengenai protein yang dia ambil. Sememangnya sudah tanggungjawab kami untuk sering mengingatkan pemain mengenai doping dan kita juga sudah memberikan ceramah kepada pemain.

"Bagi saya ini satu pengajaran bukan saja kepada Syihan malah kepada pemain dan pegawai supaya sentiasa beringat mengenai bahaya pengambilan bahan makanan tambahan. Memang sebelum ini kita hanya membenarkan pemain mengambil sebarang vitamin atau makanan tambahan yang dibekalkan oleh ISN (Institut Sukan Negara)," kata Wai Hwang, hari ini.

Semalam FAM mengesahkan Syihan didapati gagal ujian doping yang dilakukan secara rawak selepas perlawanan pertama Kumpulan C bertemu Iraq di Stadium Changshu pada 10 Januari lalu.

Syihan yang kini mewakili Negeri Sembilan bersetuju untuk melakukan ujian sampel B kelmarin namun dia kini dikenakan penggantungan sementara selama 60 hari daripada mengambil bahagian dalam segala aktiviti bola sepak termasuk perlawanan domestik, perlawanan persahabatan dan perlawanan rasmi sebelum keputusan ujian berkenaan diumumkan.

Pemain berusia 22 tahun itu menafikan mengambil sebarang bahan terlarang namun mengakui ada mengambil protein sebagai makanan tambahan untuk memulihkan tubuhnya selepas berlatih.

Wai Hwang berharap sokongan akan tetap diberikan kepada Syihan kerana bimbang hukuman penggantungan yang lama boleh meranapkan karier pemain berpotensi itu.

"Kita berharap agak ujian sampel B memihak kepadanya. Andai kekal positif, kita berharap agar dia tidak dikenakan hukuman penggantungan yang lama kerana ia boleh membantutkan perkembangannya sebagai pemain. Bukan mudah untuk dia mendapatkan semula prestasi terbaiknya jadi kita perlu berikan dia motivasi untuk bangkit semula," katanya.

468 dibaca
Berita Harian X