Selasa, 13 March 2018 | 3:32pm
AZRAAI menggantikan Steinbrunner yang letak jawatan. FOTOR/ADZLAN SIDEK

Jurulatih tempatan lebih 'ummph'

KUALA LUMPUR: Di sebalik persepsi yang mengatakan jurulatih import lebih baik, situasi berbeza dapat disaksikan dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) apabila rata-rata jurulatih tempatan masih diberi kepercayaan untuk mengemudi pasukan.

Menerusi senarai barisan kejurulatihan pasukan yang dikeluarkan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), enam jurulatih serta satu jurulatih sementara dalam pasukan Liga Super diberi kuasa penuh untuk mencorak taktikal pasukan masing-masing.

Malah, dua pasukan yang sebelum ini menggunakan khidmat jurulatih luar turut menaruh kepercayaan kepada jurulatih tempatan apabila Mohd Azraai Khor Abdullah dilantik selaku pengendali baharu skuad Negeri Sembilan bagi menggantikan Jorg Steinbrunner yang meletakkan jawatan.

Kelantan pula melantik pembantu jurulatihnya, Yusri Che Lah sebagai pengendali sementara selepas skuad The Red Warriors itu mengambil keputusan memecat pengendali dari Thailand, Sathit Bensoh, susulan prestasi tidak memberangsangkan yang diperagakan pasukan itu, bulan lalu.

Selain dua pasukan berkenaan, lima jurulatih tempatan yang juga bekas pemain kebangsaan terbabit dalam kancah Liga Super iaitu Dollah Salleh yang membimbing Pahang, P Maniam (Selangor), Datuk K Rajagobal (PKNS FC), Abu Bakar Fadzim (PKNP FC) serta Irfan Bakti Abu Salim (Terengganu).

Lima pasukan memilih mendapatkan jurulatih luar iaitu Raul Longhi (JDT), Ramon Marcote (Kedah), Fabio Maciel (Kuala Lumpur), Eduardo Almeida (Melaka United) dan Mehmet Durakovic (Perak).

Bagaimanapun, jika dinilai prestasi semasa pasukan Liga Super setakat ini, dapat dirumuskan bahawa jurulatih tempatan memiliki kemampuan untuk bersaing dengan jurulatih import selepas PKNS FC dan  Terengganu masing-masing menghuni tangga kedua dan ketiga liga.

Dua pasukan terbabit yang dibimbing Rajagobal dan Irfan kini mengutip 10 mata selepas mengharungi lima perlawanan dan hanya dibezakan dua mata di belakang pendahulu, JDT yang menghimpun 12 mata.

Sementara itu, dominasi lebih besar dapat disaksikan dalam kancah Liga Perdana selepas sembilan daripada 12 pasukan divisyen dua itu mendapatkan khidmat jurulatih tempatan.

Malah, beberapa jurulatih tempatan yang menabur bakti dalam saingan Liga Perdana juga boleh disifatkan sebagai jurulatih berprofil tinggi seperti B Sathianathan (FELDA United), Zainal Abidin Hassan (Pulau Pinang), Ismail Zakaria (Kuantan FA) dan K Devan (MIFA).

Hanya tiga pasukan yang mengambil khidmat jurulatih luar iaitu pendatang baharu Liga Perdana, FELCRA FC yang mendapatkan sentuhan pengendali dari Brazil, Tarcisio Pugliese, skuad simpanan JDT iaitu JDT II yang mengekalkan khidmat Benjamin Mora serta Sarawak yang melantik jurulatih dari Australia, Ian Andrew Gillan.

884 dibaca
Berita Harian X