Selasa, 13 March 2018 | 3:45pm
PEMAIN Selangor, Evan Dimas (tengah) ketika beraksi bertemu Pahang pada saingan Liga Super. - Foto Rosdan Wahid

'Anak Ajaib' optimis Selangor bangkit

KUALA LUMPUR: Meskipun Selangor dirundung malang apabila tewas dalam tiga aksi Liga Super berturut-turut, pemain tengah importnya, Evan Dimas tetap kekal positif dan enggan tertekan dengan prestasi kurang memberangsangkan yang diperagakan pasukan itu.

Menurut pemain yang diberi julukan 'Anak Ajaib' itu, dia pernah mengalami skrip sama ketika beraksi bersama Bhayangkara FC pada musim lalu sekali gus menjadikannya 'masak' mengharungi situasi sukar yang sedang dialami skuad The Red Giants ketika ini.

Bagi tonggak skuad Bawah 23 tahun (B-23) Indonesia itu, kekalahan demi kekalahan yang dialami tidak akan melunturkan semangatnya dengan dia menuntut rakan sepasukan kembali bangkit meraih kemenangan.

"Sebelum menyertai Selangor, saya bersama Bhayangkara FC pernah berada di kedudukan yang kurang baik, jadi kita harus bersabar dan menjadikan kesusahan ketika ini sebagai motivasi untuk membakar semangat kita supaya dapat menjadi lebih maju.

"Pada masa sama, saya juga akui belum lagi menunjukkan prestasi yang dimahukan. Jadi saya akan terus bekerja keras bagi memastikan pasukan tidak terus ketinggalan dan mampu bangkit untuk kembali ke landasan yang tepat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebagai rekod, skuad Merah Kuning membuka kempen Liga Super musim ini dengan penuh bergaya apabila menundukkan musuh setempat, Kuala Lumpur 2-0 sebelum gah membelasah Melaka United 4-1 pada aksi kedua di laman sendiri.

Bagaimanapun, kunjungan mereka ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah bertemu Terengganu berakhir dengan kekecewaan apabila diaibkan pendatang baharu itu 1-4 sebelum tunduk 1-3 di tangan Pahang pada aksi di laman sendiri.

Hasrat mereka untuk bangkit lebur apabila tewas 0-3 kepada Perak di Lumut, Ahad lalu.

Jumaat ini, mereka sekali lagi berdepan Terengganu dalam aksi pusingan ketiga Piala FA di Kuala Terengganu.

1439 dibaca
Berita Harian X