Selasa, 13 March 2018 | 5:12pm
TIMBALAN Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Jangan 'belanja hangus' geran tahunan FAM

MELAKA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyarankan geran tahunan yang diterima setiap persatuan atau kelab bola sepak mesti bijak dibelanjakan termasuk digunakan untuk program pembangunan akar umbi.

Timbalan Presidennya, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, berkata sudah menjadi harapan Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk setiap kelab memperuntukkan sebahagian jumlah berkenaan bagi program pembangunan pelapis.   

Beliau berkata, walaupun FAM tidak menyatakan jumlah yang perlu diperuntukkan untuk pembahagian program sedemikian, namun persatuan perlu bijak menggunakan dana berkenaan untuk program terbabit, selain aktiviti penganjuran liga tempatan di daerah dan kawasan masing-masing.   

"FAM juga tidak mengambil kira seandainya jumlah itu dibelanjakan semata-mata untuk mendapatkan barisan import terbaik atau memperkuat pasukan Liga Malaysia masing-masing, namun adalah lebih baik jika ia turut dibelanjakan bagi pembangunan bakat baru.   

"Malah, harapan Tunku Ismail juga supaya kemudahan infrastruktur dan padang turut diberi perhatian menerusi dana yang diagihkan.   

"Apa pun terpulang kepada persatuan walaupun pada awalnya terdapat cadangan untuk membahagikan jumlah berkenaan yang perlu diasingkan untuk program pembangunan pasukan yang menerima dana terbabit," katanya.   

Katanya, walaupun Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) memotong geran tahunan bernilai RM3 juta kepada 10 pasukan yang gagal melengkapkan pendaftaran pasukan mengikut tempoh yang ditetapkan, namun bakinya masih ada untuk program berkenaan.

"Malah, kaedah memotong geran mengikut denda yang dikenakan iaitu RM1.5 juta dan RM500,00 kepada pasukan Liga Super dan Liga Perdana itu menyaksikan kantung persatuan masih terisi untuk menyusun program jangka panjang dan pendek," katanya.

969 dibaca
Berita Harian X