Selasa, 13 March 2018 | 5:24pm
KAPTEN JDT, Safiq Rahim inginkan kemenangan memihak pasukan itu apabila melayani kunjungan Tampines Rovers, malam esok. - Foto Hairul Anuar Rahim

JDT tak terjejas tanpa Diaz

JOHOR BAHRU: "Kemenangan tetap diburu walaupun ia agak sukar."

Itu kata-kata kapten Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim yang inginkan kemenangan memihak pasukan itu apabila melayani kunjungan Tampines Rovers pada aksi Kumpulan H saingan Piala AFC Zon ASEAN di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, malam esok.

Apapun kapten JDT itu tidak menganggap ia perlawanan mudah selepas skuad kendalian Jurgen Raab berjaya mengikat keputusan seri 0-0 pada aksi di Stadium Jalan Besar, 6 Mac lalu.

Katanya, keputusan positif menjadi taruhan buat JDT tatkala beraksi di laman sendiri menuntut kesebelasan pemain yang bakal diturunkan memberi sepenuh komitmen pada perlawanan itu.

"Sesiapa yang diturunkan harus mengikut percaturan taktikal yang dirancang jurulatih (Raul Longhi) kerana ia penting untuk beraksi konsisten sepanjang 90 minit perlawanan dan elak daripada melakukan kesilapan mudah.

"Apabila berada di padang saya harap rakan sepasukan positif dan bermain dengan tenang untuk mengutip tiga mata berharga kerana ia mustahak untuk merapatkan jurang mata dengan pendahulu iaitu kelab dari Vietnam, Song Lam Nghe An FC," katanya.

Mengulas kegagalan JDT mencipta kemenangan ke atas Tampines Rovers pada aksi lalu, Safiq enggan memikirkan apa yang berlaku, sebaliknya mahu menumpukan pada pertembungan menentang kelab dari Singapura itu pada pusingan kedua.

Malah dia menegaskan lawan kemungkinan tampil corak berbeza dengan kelainan taktikal dan kekuatan dan setiap pemain JDT harus bersiap sedia untuk mengelak daripada terperangkap dengan corak permainan skuad kendalian Jurgen Raab.

Ditanya mengenai ketiadaan Jorge Pereyra Diaz dalam skuad itu, Safiq menegaskan tiada kesan dalam skuad itu tanpa kelibat pemain import dari Argentina itu sebaliknya barisan pemain JDT tetap konsisten pada aksi Piala AFC dan saingan Liga Super.

"Dia seorang sahaja yang tinggalkan pasukan JDT, bukannya 10 pemain tinggalkan JDT. Jadi tiada kesan langsung malah moral pemain tetap tinggi.

"Malah aksi ketika menentang kelab dari Vietnam dan menentang Terengganu, Alhamdullilah prestasi pasukan bertambah baik dan tiada kesan apabila ketiadaan Jorge (Pereyra Diaz)," kata Safiq.

1364 dibaca
Berita Harian X