Selasa, 13 March 2018 | 5:36pm
PENYERANG import Sabah, Hector Omar Ramos (kiri) diasak pemain MISC-MIFA dalam aksi Liga Perdana, malam tadi. - Foto FB FMLLP

Padang becak gugat peluang Sabah

KOTA KINABALU: Walaupun sekadar seri dengan MISC-MIFA dalam aksi Liga Perdana, malam tadi, pengendali Sabah, Jelius Ating tetap gembira kerana berjaya membawa pulang satu mata selain mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini.

Katanya, keadaan padang yang becak menjejaskan rentak permainan mereka sehingga gagal mencapai sasaran untuk memenangi perlawanan itu.

"Dengan keadaan padang becak dengan air bertakung, kita tidak dapat melakukan hantaran-hantaran bawah seperti mana cara kita bermain sebelum ini.

"Kita terpaksa melakukan hantaran jauh dan cara itu tidak banyak membantu pasukan pada malam tadi, apapun saya bersyukur kerana tidak tewas, sekurang-kurangnya kita membawa pulang satu mata dari gelanggang lawan," katanya, di sini, hari ini.

Pada aksi malam tadi, Sabah mendahului pada minit ke-16 menerusi penyerang import, Hector Omar Ramos bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Bagaimanapun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Thinagaran Baskeran berjaya menanduk masuk bola hasil sepakan sudut pada minit ke-29 bagi menjadikan kedudukan 1-1 dan kekal sehingga tamat permainan.

Perlawanan malam tadi juga terpaksa dimulakan lewat selepas tertangguh kira-kira 35 minit berikutan hujan lebat.

Dalam pada itu, Jelius berkata, dia akan memberi peluang kepada pemainnya untuk cuti rehat selama tiga hari pada minggu depan kerana perlawanan seterusnya hanya berlangsung pada 30 Mac bertemu UiTM FC di Stadium Likas, di sini.

"Kita akan kembali ke Kota Kinabalu dan menyambung latihan selama dua hari sebelum memberi mereka cuti tiga hari, kita akan cuba perbaiki lagi kelemahan," katanya.

Setakat lima perlawanan, Sabah kekal di tangga kedua di belakang FELDA United dengan sembilan mata, hasil daripada dua kemenangan dan tiga seri.

Bagaimanapun, mereka kini berkongsi mata dengan UiTM yang berada di kedudukan ketiga dan hanya memiliki kelebihan jaringan.

457 dibaca
Berita Harian X