Selasa, 13 March 2018 | 7:12pm
PENJAGA gol FELDA United, Farizal Harun tak pandang rendah kemampuan UKM FC menjelang aksi Liga Perdana, Jumaat ini. - Foto Farizul Hafiz Awang

The Fighters hormati UKM FC

KUANTAN: FELDA United FC yang cemerlang dalam saingan Liga Perdana tetap berwaspada apabila melayan kunjungan UKM FC pada pusingan ketiga Piala FA di Stadium Tun Abdul Razak, Maran, Jumaat ini.

Penjaga gol The Fighters, Farizal Harun berkata, kedatangan UKM FC tidak boleh dipandang mudah biarpun rekod pertemuan musim ini berpihak kepada FELDA United.

Katanya, kemenangan tipis 2-1 ke atas UKM FC dalam saingan liga sudah membuktikan bahawa lawan memiliki barisan pemain yang mantap dan mampu melakar kejutan.

"Sebab itu kami tidak boleh memandang mudah dan perlu mempamerkan komitmen 100 peratus untuk memastikan slot suku akhir milik The Fighters.

"Ini kerana UKM FC bukan saja sebuah yang bagus tetapi mereka memiliki semangat berpasukan tinggi yang memerlukan kami bermain dengan lebih berhati-hati," katanya.

Ditanya kelebihan FELDA United yang beraksi di laman sendiri, Farizal berkata, kelab itu seharusnya memanfaatkan untuk melangkah lebih jauh dalam saingan piala berprestij itu.

Katanya, sokongan padu daripada penyokong turut memberi lebih motivasi dan semangat kepada pemain untuk memastikan kejayaan buat pasukan.

"Sebagai benteng terakhir, saya akan berusaha untuk memastikan tiada jaringan dapat dilakukan UKM FC. Sebaliknya, jentera serangan FELDA akan terus berbisa untuk menafikan peluang kepada UKM FC mengisi slot suku akhir," katanya.

Pada pusingan kedua Piala FA lalu, FELDA United menewaskan FELCRA FC 5-2.

354 dibaca
Berita Harian X