Selasa, 13 March 2018 | 8:05pm

MU lancar kutipan derma kilat

MELAKA: Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) akan mengadakan kutipan derma kilat bagi mengutip sumbangan kepada keluarga peminat bola sepak pasukan itu, Allahyarham Mohd Aiqal Ruslan, 25, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. 

Allahyarham meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang selepas menyaksikan perlawanan Liga Super antara Melaka United (MU) menentang PKNP FC di Stadium Hang Jebat, Ahad lalu.  

Bendahari Kehormat MUSA, Razak Abu Hassan yang mewakili Presiden MUSA, Datuk Seri Idris Haron meluangkan masa menziarahi keluarga Allahyarham di Jalan Gajus, Kampung Tambak Paya, Ayer Molek, di sini, hari ini.   

Abd Razak berkata, persatuan akan mengadakan kutipan derma kilat untuk keluarga Allahyarham pada perlawanan Piala FA 2018, ketika MU menentang Kuala Lumpur di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini.

"Peminat dan penyokong boleh menghulurkan sumbangan kepada keluarga Allahyarham menerusi tabung itu.

"Kutipan derma juga boleh diteruskan selepas itu jika masih ada yang mahu menyumbang. Saya difahamkan, dia (Allahyarham) peminat tegar MU yang menyimpan pelbagai jersi skuad berkenaan dan tidak pernah ketinggalan menyaksikan perlawanan membabitkan skuad Hang Tuah," katanya.   

Pada kunjungan itu, Abd Razak turut menyampaikan sumbangan kepada bapa Allahyarham, Ruslan Sabtu dan ibunya, Suriana Sulaiman.

2791 dibaca
Berita Harian X