Selasa, 17 April 2018 | 2:21pm
KOGILESWARAN (kanan) dikekang pemain Kuala Lumpur, Mohamad Hisyamudin Mohamad Sha'Ari pada aksi Liga Super di Stadium KLFA pada 15 April lalu. - Foto ASWADI ALIAS

Kogileswaran tak sabar robek gawang JDT

KUANTAN: Penyerang Pahang, R Kogilewaran sudah sedia tampil merobek gawang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, pada Jumaat ini. 

Bekas pemain Frenz United FC itu berkata, satu gol ketika membantu skuad Tok Gajah untuk mencatat keputusan 2-2 dengan Kuala Lumpur (KL) dalam saingan Liga Super kelmarin, memberi motivasi terbaik untuk mempamerkan persembahan meyakinkan. 

"Sebaik menjaringkan gol itu, saya begitu teruja dan terus sedia melakukan yang terbaik buat pasukan apabila berada dalam skuad utama. 

"Saya akan memberi sepenuh komitmen jika terus mendapat kepercayaan jurulatih (Dollah Salleh) dalam senarai kesebelasan utama apabila Pahang bertemu JDT, Jumaat ini. 

"Apabila diberi tanggungjawab selaku penyerang dan bergandingan dengan Patrick Cruz, perasaan teruja. Ia nyata membantu untuk meningkatkan prestasi yang lebih baik," katanya. 

Pada aksi liga Super bertemu KL, jaringan Kogileswaran pada babak kedua memastikan skuad itu pulang satu mata selepas ketinggalan dengan pelawat.

Ditanya peluang Pahang layak ke separuh akhir Piala FA, dia percaya ia masih lagi terbuka buat selepas seri tanpa jaringan pada suku akhir pertama di Kuantan. 

Katanya, kegagalan mencatat kemenangan di laman sendiri tidak mematahkan semangat untuk memastikan kejayaan . 

"Kami akan berusaha sebaik mungkin biarpun sedar saingan getir bakal dihadapi memandang JDT diakui memiliki kelebihan kerana beraksi di laman sendiri," kata pemain berumur 20 tahun itu.

2831 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »