;
Khamis, 17 Mei 2018 | 12:48am
THIBAUT COURTOIS

Chelsea waspada 'muslihat' Mourinho - Courtois

LONDON: Penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois berkata pengurus Manchester United, Jose Mourinho "sentiasa mempunyai kejutan" yang menjadikan pertembungan final Piala FA, awal pagi Ahad ini cukup menarik.

Mourinho mengubah sistem tiga pertahanan selain menggunakan pemain tengah, Ander Herrera untuk mengawal perancang Chelsea, Eden Hazard dalam dua pertemuan terakhir membabitkan kedua-dua pasukan.

Courtois, yang menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) di bawah kendalian pengurus dari Portugal itu pada musim 2014-15 berkata Chelsea ketika ini lebih bersedia dengan sasaran menamatkan musim ini dengan kilauan piala.

"Dia sentiasa mempunyai kejutan dalam setiap perlawanan ketika bertemu kami," kata Courtois. "Dia mempunyai pelbagai sistem untuk bermain. Kadang kala dengan menggunakan tiga pemain di bahagian belakang, kadang kala empat.

"Dia sentiasa mencari sesuatu. Saya fikir ia akan menjadi perlawanan yang baik, begitu banyak pemain yang sering ditemui dalam kedua-dua pasukan. Saya bermain ia akan menjadi perlawanan yang baik dengan Chelsea sebagai pemenang.

"Kami boleh mengetahui cara yang digunakannya sejak dua tahun lalu ketika melawan kami, tetapi itu saja."

Kekalahan 0-3 kepada Newcastle United pada perlawanan terakhir EPL musim ini mengakhiri impian Chelsea untuk beraksi di kancah Liga Juara-Juara musim depan apabila menamatkan saingan di tangga kelima.

Begitupun, Courtois yakin keputusan yang dilakukan baru-baru itu tidak mengganggu persiapan mereka ke Wembley. - Reuters

1456 dibaca
Berita Harian X