;
Rabu, 19 Julai 2017 | 9:47pm
Marina Chin

Khairul Hafiz mampu lebur rekod sendiri

KUALA LUMPUR: Ketua kontinjen negara, Datuk Marina Chin yakin jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan mampu memadam kedua-dua rekod kebangsaan dalam acara pecut pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), bulan depan.

Marina yang ditemui pada sambutan Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan di Kompleks Sukan Nasional Bukit Jalil, malam ini berkata, kejayaan Khairul Hafiz itu hanyalah sekadar permulaan kerana dia kini sedang berada di kemuncak prestasi.

"Jadi, saya percaya Khairul Hafiz mampu mencatatkan masa lebih baik seterusnya memadam rekodnya sendiri dalam acara 100 dan 200 meter (m)," katanya.

Malam semalam atlet kelahiran Melaka itu mencipta sejarah apabila memadam rekod 200m berusia 49 tahun milik Tan Sri Dr M Jegathesan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2017 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Begitupun Marina mengingatkan bahawa usaha untuk memecahkan rekod dan mencari kilauan emas pada KL2017 juga akan bergantung kepada tahap kesihatan, emosi dan faktor cuaca ketika hari pertandingan.

"Sebagai manusia biasa kejayaan Khairul Hafiz nanti tidak boleh lari daripada dipengaruhi oleh tahap kesihatan dan faktor-faktor lain.

"Justeru, saya minta rakyat Malaysia tidak memberi tekanan berlebihan buatnya untuk melakukan yang terbaik buat negara," katanya.

854 dibaca
Berita Harian X