Sabtu, 12 Ogos 2017 | 7:06pm
PASUKAN Bola Keranjang Kebangsaan Lelaki dan Wanita bergambar selepas majlis pengumuman Pasukan Bola Keranjang Kebangsaan lelaki dan Wanita Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Malaysia Basketball Association (MABA), Jalan Hang Jebat. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Frank optimis skuad bola keranjang negara

KUALA LUMPUR: Bekas kapten skuad bola keranjang lelaki kebangsaan 1989, Ch'ng Eng Hing menjangkakan pasukan wanita negara tidak akan menghadapi masalah besar mempertahankan pingat emas menjelang saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), kali ini.

Eng Hing atau lebih dikenali sebagai Frank percaya pasukan lelaki negara juga akan mencipta kejutan dan layak sekurang-kurangnya ke pentas separuh akhir dalam temasya di laman sendiri.

Bagaimanapun, bagi Frank, peluang pasukan wanita untuk meraih pingat emas di KL2017 lebih baik berbanding lelaki kerana mereka adalah juara bertahan serta mempunyai rekod kemenangan yang konsisten.

"Pasukan lelaki ada peluang untuk mempamerkan kebangkitan walaupun bakal berdepan saingan sengit Filipina dan Thailand.

"Jika mereka dapat beraksi secara berpasukan dan memanfaatkan kelebihan aksi di laman sendiri, kita masih mempunyai peluang untuk layak ke akhir.

"Bola keranjang adalah permainan berpasukan, jadi jika mana-mana pasukan dapat beraksi secara berpasukan dengan lebih baik, mereka akan berpeluang menang emas," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Frank juga yakin kehadiran pemain tinggi lampai, Perry Lee yang kini menetap di Amerika Syarikat (AS), mampu memberi impak besar untuk memperkuatkan skuad lelaki negara.

"Mereka tidak boleh lagi memberikan sebarang alasan jika kalah kerana mereka menikmati pelbagai kemudahan berbanding di zaman kami dulu.

"Saya percaya skuad negara mampu melangkah lebih jauh jika mereka sentiasa berusaha meningkatkan prestasi dan tidak mudah mengaku kalah biarpun ketinggalan daripada segi pungutan mata," katanya.

175 dibaca
Berita Harian X