Sabtu, 12 Ogos 2017 | 7:56pm
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (kanan) melihat sebahagian atlet menembak negara berlatih ketika lawatan ke venue acara menembak untuk Sukan Sea KL2017 di Lapang Sasar Subang. - Foto Luqman Hakim Zubir

Suryani harap tuah gelanggang keramat Subang

KUALA LUMPUR: Lapang Sasar Subang ditagih penembak berpengalaman negara, Nur Suryani Mohamed Taibi untuk terus menjadi 'kubu kuat' dalam usahanya menyumbang kejayaan buat kontinjen negara di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Suryani yang beraksi dalam acara 50 meter (m) dan tiga posisi air rifle berkata, kekuatannya di gelanggang itu adalah berdasarkan pengalaman ketika dia menjangkakan persaingan pada edisi kali ini cukup sukar.

"Beraksi di sini memberi sedikit kelebihan kerana saya sudah menembak di sini sejak 1998 ketika SUKMA (Sukan Malaysia). Jadi faktor keadaan angin dan segala-galanya mungkin sudah agak biasa bagi saya.

"Pada Sukan SEA 2001, ketika Malaysia menjadi tuan rumah, saya meraih pingat emas dalam acara 50m tiga posisi berpasukan.

"Tetapi ketika itu saya adalah penembak junior dan beraksi bersama senior, namun kali ini, saya adalah penembak senior, jadi semangat itu pasti lebih membara."

Pada edisi 2001, ketika Malaysia menjadi tuan rumah, trio rifle wanita menghasilkan bidikan emas menerusi gandingan Nurul Huda Baharin, Roslina Bakar dan Suryani dalam acara tiga posisi berpasukan.


VENUE acara menembak di Lapang Sasar Subang. - Foto Luqman Hakim Zubir

Mengulas mengenai persiapannya, Suryani berkata, kejayaan meleburkan rekod kebangsaan miliknya dalam acara tiga posisi ketika Kejohanan Menembak Kebangsaan di gelanggang sama turut memberinya motivasi tambahan.

"Setakat ini, prestasi saya memang meningkat namun saya tidak meletakkan sasaran khusus dan hanya mahu melakukan yang terbaik dan lebih bertenang.

"Saingan memang sengit terutama daripada penembak Singapura dan Thailand kerana mereka turut beraksi di temasya Olimpik selain pernah menjuarai gelaran Asia."

Pada kejohanan yang berlangsung bulan lalu, Suryani mencatat 590 mata untuk memecahkan rekod 589 mata miliknya yang dilakukan pada 2005.

"Ketika itu saya baru saja mencuba alatan baharu di rifle saya iaitu barrel yang lebih panjang dan ia menjadi.

"Alhamdulillah ia membantu untuk saya meningkat kerana saya juga tak jangka ia akan pecahkan rekod," kata atlet berusia 34 tahun ini.

166 dibaca
Berita Harian X