Ahad, 13 Ogos 2017 | 5:14pm
PEMAIN Malaysia, Tengku Ahmad Tajuddin (kanan) pada perlawanan persahabatan menentang Pasukan Singapura di Stadium Hoki Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan

'Tiada sebab gagal raih emas'

KUALA LUMPUR: Penyerang skuad hoki negara, Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil menegaskan betapa tiada sebab untuk pasukan kebangsaan tidak memenangi pingat emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Ia berikutan skuad kali ini adalah paling kuat disenaraikan Malaysia untuk bersaing dalam temasya dwitahunan itu nanti.

Pemain berusia 31 tahun itu menjelaskan, peningkatan mendadak prestasi pemain muda menjadikan skuad hoki Malaysia kini berada pada landasan terbaik untuk mencipta kejayaan.

"Sukan hoki ini memang tiada sebab untuk gagal mendapatkan pingat emas. Malah, kita menghantar skuad paling kuat, bagi saya memang tiada masalah untuk dapatkan emas.

"Kebanyakan pemain sudah matang, terutama bila kumpulan pemain sudah jadi besar, kita boleh gunakan siapa saja pemain yang ada untuk dimasukkan dalam skuad.

"Pemain muda dan senior tidak jauh beza dan itu menjadi kelebihan yang ada pada pasukan sekarang. Semua pemain lebih kurang, hanya berbeza umur dan pengalaman," kata pemain kelahiran Perlis itu.

Ini adalah kali kedua Tengku menyertai Sukan SEA selepas di Myanmar pada 2013 yang menyaksikan skuad hoki kebangsaan menyumbang emas buat negara.

Selain itu, Tengku turut menjelaskan dia dan rakan sepasukan kini memberi lebih fokus kepada memperkemaskan pukulan sudut penalti dalam persiapan terakhir skuad negara.

"Kita fokus kepada pukulan sudut penalti, sebab itu antara faktor yang boleh menjaringkan gol.

"Malah, untuk peringkat Sukan SEA ini juga kita cuba mempertajamkan kemahiran menjaringkan gol bagi setiap pemain," katanya.

Sukan SEA akan membuka tirai secara rasmi pada Sabtu ini dan acara hoki akan berlangsung pada 21 hingga 29 Ogos.

205 dibaca
Berita Harian X