Ahad, 13 Ogos 2017 | 6:27pm
NURUL Farah Alisa Roslan (tiga dari kiri) menjalani latihan taekwondo untuk Sukan Sea KL2017 di Gym3 Majlis Sukan Negara. - Foto Saifullizan Tamadi.

Nurul Farah tekad akhiri kemarau 8 tahun

KUALA LUMPUR: Meskipun bertarung pertama kali di pentas Sukan SEA, Nurul Farah Alisa Roslan bertekad untuk mengukir nama selaku atlet taekwondo wanita negara yang berjaya menamatkan kemarau pingat emas pada temasya dwi tahunan itu.

Atlet yang baru berusia 18 tahun dan beraksi dalam kategori bawah 57kg itu berkata, seperti atlet lain dia juga mahu menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk memastikan emas berada dalam genggaman.

Kali terakhir atlet taekwondo wanita negara meraih emas di temasya dwi tahunan itu pada 2009 di Laos yang dimenangi oleh Che Chew Chan.

"Memang sasaran utama saya memenangi emas bagi memadam kemarau tiga edisi sebelum ini.

"Beraksi di depan penyokong sendiri mungkin akan memberikan kelebihan dan saya tidak mahu sia-siakan peluang terbaik ini," katanya ketika ditemui pada sesi latihan, hari ini.

Walaupun sedar ranjau yang bakal diharunginya sukar di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Nurul yang dilabel antara atlet berpotensi besar pada masa depan, tetap tidak berganjak daripada sasarannya itu.

"Bagi saya Thailand adalah pencabar utama yang perlu diberi perhatian serius kerana mereka mempunyai atlet berpengalaman serta layak beraksi di Sukan Olimpik.

"Apapun saya tak mahu ambil kisah semua itu kerana apa yang penting adalah prestasi ketika turun beraksi.

"Berdasarkan persiapan rapi yang sudah dilakukan selama ini termasuklah menjalani latihan di Korea Selatan, saya yakin sudah cukup bersedia untuk beraksi kali ini," katanya.

293 dibaca
Berita Harian X