Ahad, 13 Ogos 2017 | 7:05pm
PENJAGA Gol Skuad Hoki Wanita Negara, Farah Ayuni Yahya (kanan) menjalani latihan menjelang Sukan Sea KL2017. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Farah Ayuni buru hadiah perpisahan

KUALA LUMPUR: Penjaga gol hoki terbaik Asia, Farah Ayuni Yahya mengimpikan untuk mempertahankan pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) sebagai hadiah perpisahan pada temasya dwi tahunan itu.

Menurut Farah, dia berpuas hati dengan pencapaian yang diraih di temasya terbesar Asia Tenggara itu dan mahu memberi tumpuan kepada saingan lebih besar seperti Sukan Komanwel dan Asia pula pada tahun depan.

"Ini penampilan keempat saya di Sukan SEA dan ia kemungkinan besar yang terakhir.

"Saya benar-benar mahu beraksi pada edisi kali ini kerana ia berlangsung di halaman sendiri, apatah lagi, keluarga terdekat juga dapat menyaksikan aksi saya di stadium.

"Selepas ini, fokus saya untuk Sukan Komanwel dan Asia. Saya fikir sudah tiba masanya untuk memberi peluang kepada pemain lain pula beraksi di Sukan SEA," katanya ketika ditemui pada sesi latihan, hari ini.

Pemain berusia 28 tahun itu berkata, sepatutnya skuad negara tidak berdepan masalah mempertahankan emas dengan mengambil kira ranking Malaysia di tangga pertama rantau Asia Tenggara.

"Saya lihat kira-kira beberapa hari lagi saja lagi sebelum bermulanya Sukan SEA, tahap intensiti setiap pemain tidak berkurang, malah lebih bertambah.

"Sebab fokus kami bukan saja terhadap Sukan SEA, sebaliknya untuk persiapan ke Piala Asia juga.

"Sebab itu saya yakin kami mampu mempertahankan emas seperti edisi lalu," katanya.

540 dibaca
Berita Harian X