Ahad, 27 Ogos 2017 | 5:55pm
PRESIDEN KOM, Datuk Karim Ibrahim (tengah) merancang untuk menyenaraikan beberapa atlet balapan dan padang yang cemerlang di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) untuk diserapkan ke Program Podium. Khairul Hafiz (kiri) antara nama yang menjadi tumpuan.

KL2017: Atlet cemerlang ke Program Podium - KOM

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) merancang untuk menyenaraikan beberapa atlet balapan dan padang yang cemerlang di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) untuk diserapkan ke Program Podium.

Presidennya, Datuk Karim Ibrahim, berkata antara nama yang menjadi tumpuan ialah adalah raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan; jaguh lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin dan pemegang rekod Sukan SEA acara lompat kijang, Muhammad Hakimi Ismail.

Selain itu, nama lain yang turut dipertimbangkan ialah dua pemegang rekod Asia Tenggara, Jackie Wong Siew Cheer dan Grace Wong Xiu Mei dalam acara baling tukul lelaki dan wanita.

"Saya akan berbincang dengan Ahli Majlis untuk menyenaraikan beberapa atlet berbakat untuk disalurkan di dalam Program Podium.

"Kita akan maklumkan kepada Podium, sama ada diterima atau tidak itu terpulang kepada mereka kerana nama mereka ini berada di dalam senarai Sukan Asia," kata Karim ketika ditemui sejurus tamatnya saingan olahraga Sukan SEA di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ketika ini, 117 atlet berada di dalam program seliaan Institut Sukan Negara (ISN) tahun ini, namun hanya seorang mewakili sukan olahraga iaitu Olimpian, Nauraj Singh Randhawa.

Karim bagaimanapun mengingatkan atlet agar tidak dibuai dengan kejayaan di KL2017, sebaliknya mengingatkan mereka masih mempunyai misi lain selepas ini, iaitu Sukan Asia Indonesia 2018 dan Sukan SEA Manila pada 2019.

Namun jelasnya, jumlah penyertaan atlet olahraga di Sukan SEA 2019 mungkin tidak seramai jumlah atlet yang disenaraikan bertanding pada edisi kali ini di Kuala Lumpur.

"Kejayaan di tanah air adalah sesuatu yang cukup bermakna, namun saya minta atlet tidak mengambil mudah kerana selepas ini kita mempunyai Sukan Asia.

"Ada juga yang akan disenaraikan untuk ke Sukan SEA Manila 2019 namun jumlah itu tidak sebesar seperti yang mengambil bahagian di sini (Kuala Lumpur)," kata Karim sambil mengakui kejayaan di KL2017 menerusi program tersusun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN).

Pasukan olahraga Malaysia yang dibarisi 63 atlet menamatkan saingan selama enam hari di tempat ketiga secara keseluruhan dengan kutipan lapan emas, lapan perak dan sembilan gangsa.

Lapan emas yang dikutip itu berjaya mengatasi tiga emas dilakar di Singapura pada 2015, sekali gus menyamai pencapaian dengan kutipan emas pada edisi 2001 dan 2003.

Empat rekod Sukan SEA juga diperbaharui - menerusi acara baling tukul besi lelaki dan wanita masing masing menerusi Jackie Wong dengan balingan sejauh 65.90m serta Grace Wong (59.24m).

Muhammad Hakimi Ismail memecah rekod dalam acara lompat kijang lelaki (16.77m) manakala Nauraj Singh dalam acara lompat tinggi lelaki (2.24m).

696 dibaca
Berita Harian X