Khamis, 31 Ogos 2017 | 6:15pm
PERARAKAN atlet Malaysia sukan SEA sempena sambutan Hari Kebangsaan 2017 yang bertemakan `Negaraku Sehati Sejiwa' di Dataran Merdeka. - Foto Aswadi Alias

Kontinjen KL2017 meriahkan perbarisan Hari Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Shapawi Ahmad menyifatkan perbarisan Hari Kebangsaan 2017 yang turut menampilkan kontinjen Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) adalah satu penghargaan buat mereka.

Lebih manis apabila Malaysia selaku tuan rumah diangkat sebagai juara keseluruhan temasya dwitahunan di sini dengan mengutip 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa, sekali gus mengatasi Thailand di tempat kedua sementara Vietnam di kedudukan ketiga.

Shapawi berkata, perbarisan terbabit disertai lebih 400 atlet dan pegawai bagi memeriahkan sambutan ulang tahun ke-60 kemerdekaan negara yang berlangsung secara gilang gemilang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

"Penyertaan ketika Hari Kebangsaan 2017 adalah penghargaan buat kontinjen Malaysia, khususnya selepas berjaya di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan ia dibalas dengan kehadiran lebih 400 atlet dan pegawai.


PERARAKAN kontijen atlet Sukan SEA KL2017 negara pada sambutan Hari Kebangsaan 2017. - Foto Mohd Yusni Ariffin

"Walaupun penat selepas bertanding tetapi mereka semua terpanggil untuk meraikan hari kebangsaan negara bersama rakyat Malaysia.

"Penghormatan ini diberikan sebagai penghargaan kepada sokongan tidak berbelah bahagi rakyat Malaysia dan kerajaan khasnya sepanjang Sukan SEA berlangsung," kata Shapawi, di sini, hari ini.

Shapawi dalam masa sama turut memaklumkan yang Malaysia sudah bersedia untuk penganjuran Sukan Para ASEAN yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 23 September ini.


PERARAKAN kontinjen atlet Sukan SEA KL2017. - Foto Hafiz Sohaimi

Dia berharap agar rakyat Malaysia dapat hadir memberikan sokongan dalam setiap pertandingan kerana itu antara elemen penting untuk merangsang prestasi atlet yang mengambil bahagian.

Hari ini, tanggal 31 Ogos menyaksikan Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan dan Dataran Merdeka bergema dengan laungan Merdeka sebanyak tujuh kali dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak - sama seperti perisytiharan Hari Kemerdekaan di lokasi serupa, 60 tahun lalu.

Sambutan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran ratusan ribu rakyat Malaysia pelbagai kaum dan latar belakang selain perbarisan Hari Kebangsaan 2017 yang menampilkan lapan kontinjen utama menggambarkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat yang turut disertai kontinjen Sukan SEA 2017.

682 dibaca
Berita Harian X