Rabu, 13 September 2017 | 11:06am
KETUA Pembida Paris 2024, Tony Estanguet (tengah) ceria selepas Perancis dipilih tuan rumah Sukan Olimpik 2024. - Foto AFP

Olimpik 2024, 2028: IOC bakal pilih Paris, Los Angeles

LIMA: Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dijangka akan mengesahkan Paris dan Los Angeles sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2024 dan 2028, hari ini - buat pertama kalinya dalam sejarah badan induk itu apabila mengumumkan dua bandaraya secara serentak.

Selepas minggu yang menyaksikan IOC didesak untuk mempertahankan diri mengenai isu rasuah, mereka kini bersedia mengumumkan berita gembira itu yang bakal diraikan dua bandaraya berkenaan.

Kedua-dua bandaraya itu masih perlu melalui prosedur pembentangan rasmi selama 25 minit kepada IOC bermula jam 12 tengahari waktu tempatan di Pusat Konvensyen Lima.

Pada jam 1 petang, anggota IOC akan mengundi dalam proses yang dianggap sebagai 'drama' sedangkan Paris dan Los Angeles sebenarnya sudah mencapai persetujuan untuk memilih penganjuran 2024 dan 2028.

"Ini adalah kemenangan besar dan kami di sini begitu gembira," kata Ketua Pembida Paris 2024, Tony Estanguet ketika memberi reaksi kepada 60 deligasi Perancis di ibu negara Peru.

Sementara itu, Los Angeles pula menolak tanggapan mereka kalah dalam bidaan penganjuran 2024 sebaliknya berpuas hati dengan pencapaian mereka kali ini.

Bandar metropolitan California akan menerima AS$100 juta (RM420.4 juta) lebih berbanding Paris 2024 daripada dana IOC untuk penganjuran 2028, dan bakal menerima imbuhan AS$180 (RM756.7 juta) bayaran bebas faedah.

Itu bermakna, bandaraya itu akan memulakan proses pembinaan persiapan sukan sebelum bermulanya temasya dalam tempoh 11 tahun lagi.

"Kami fikir keputusan ini sangat menguntungkan," kata Ketua Pembida Los Angeles 2028, Casey Wasserman. "Kami akan meraikan kejayaan keputusan ini,"

Presiden IOC, Thomas Bach, - individu yang bertanggungjawab ke atas pemilihan serentak itu menggambarkan kedua-dua calon berkenaan sebagai 'peluang keemasan'. - AFP

270 dibaca
Berita Harian X