Khamis, 14 September 2017 | 5:56pm
PELUMBA trek berbasikal negara, Muhammad Afiq Afify Rizan tekad tampil dengan 'henjutan berbisa' pada Para KL2017. - Foto Osman Adnan

Para KL2017: Afiq tekad tampil henjutan berbisa raih tiga emas

KUALA LUMPUR: Pelumba trek berbasikal negara, Muhammad Afiq Afify Rizan tekad tampil dengan 'henjutan berbisa' sekali gus menjelmakan tiga pingat emas pada Sukan Pada ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017), bermula Ahad ini.

Bagi memantapkan pasukan, Muhammad Afiq berkata dia bersama-sama rakan sudah menjalani kem latihan di Cameron Highlands sebelum ini sebagai persiapan untuk temasya kali ini.

"Ini peluang saya, kali pertama beraksi di laman sendiri kerana ia baru dipertandingkan. Saya mahu mendapatkan tiga emas dalam acara pecut, 1 kilometer (km) dan 4km.

"Insya-Allah saya mampu melakukannya. Saya berada pada tahap terbaik dan saya jangkakan saingan sengit bakal diberikan atlet dari Singapura dan Indonesia," kata Muhammad Afiq ketika ditemui di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan di sini.


MUHAMMAD Afiq Afify Rizan (belakang) bersama skuad berbasikal ketika menjalani latihan di Pusat kecemerlangan Paralimpik Kg Pandan. - Foto Osman Adnan

Muhammad Afiq, 21, anak sulung daripada lima beradik, berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan adalah atlet berbasikal tandem (cacat penglihatan).

Dia mula menyertai sukan itu sejak dua tahun lalu.

Untuk rekod, sukan berbasikal trek para akan berlangsung di Velodrom Nasional pada Ahad dan Isnin ini dengan mempertandingkan 14 pingat emas secara keseluruhan.

Acara lebuhraya para pula akan diadakan di Putrajaya pada Rabu, Khamis ini bagi merebut 12 pingat emas.

103 dibaca
Berita Harian X