Khamis, 14 September 2017 | 6:11pm
ATLET para Malaysia, Mohd Shahmil Md Saad tidak dapat beraksi pada Para KL2017 kerana masalah kecederaan. - Foto Owee Ah Chun

Para KL2017: Shahmil akur tiada rezeki di tempat sendiri

KUALA LUMPUR: Mungkin rezeki menjadi juara dan memenangi emas di tempat lain, bukan di tanah air sendiri.

Itu antara pengakuan prospek emas negara dalam angkat berat paralimpik, Mohd Shahmil Md Saad yang tidak dapat beraksi gara-gara bergelut dengan kecederaan.

Mohd Shahmil menjelaskan, dia mengalami kecederaan bahu selepas berakhirnya Sukan Paralimpik Rio, Brazil 2016 dan sudah pulih, tetapi nasib tidak menyebelahinya apabila berdepan dengan kecederaan Cervical Discs di bahagian tengkuk pada Ramadan lalu.

Sambil mengakui agak kecewa, atlet ini tidak mahu menjadikan kecederaan itu satu halangan, sebaliknya berazam untuk tampil cemerlang pada Sukan Komanwel Gold Coast, Australia dan Sukan Para Asia di Jakarta, Indonesia, tahun depan.

"Memang kecewa sebab selepas menjalani pembedahan bahu, saya sudah bersedia, malah angkatan sudah menghampiri catatan peribadi terbaik, 200 kilogram (kg). Tak sangka pula cedera di tempat lain.


MOHD Shahmil Md Saad berdepan dengan kecederaan Cervical Discs di bahagian tengkuk pada Ramadan lalu. - FotoLuqman Hakim Zubir

"Tiga tahun berturut-turut (2011-Indonesia, 2014-Myanmar, 2015-Singapura) pingat emas saya ambil di negara lain, tapi bila tiba giliran di tempat sendiri, saya tidak dapat lakukannya.

"Insya-Allah rezeki saya mungkin di tempat lain. Harapan saya agar kawan-kawan dapat buat yang terbaik, ini rumah kita... dapatkan sebanyak mungkin pingat yang boleh," kata atlet Program Podium itu ketika ditemui di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kg Pandan.

Mengulas lanjut, Mohd Shahmil yang memenangi emas Para ASEAN pada 2011, 2014 dan 2015 serta perak di Sukan Para Asia, Incheon 2014, berkata dia dijangka terpaksa berehat kira-kira enam bulan sebelum boleh menyambung latihan.

Katanya apabila kembali nanti, dia berhasrat mahu melakukan angkatan melebihi 200kg sebelum berangkat ke temasya Para Asia tahun depan kerana proses pemulihan dan fisioterapi dirinya dijaga dengan rapi.

Di Singapura 2015, tiga emas disumbangkan Yee Khie (97kg), Mohd Shahmil (107kg) dan atlet wanita, Sona Agon (67kg), semuanya kini berada dalam Program Podium kendalian Institut Sukan Negara (ISN).

183 dibaca
Berita Harian X